Berita Utama

Polis tahan 11 lelaki memandu dalam keadaan mabuk

Lima remaja tunggang motosikal aksi merbahaya 'zig-zag', 'roket' dan 'Superman'

KUALA LUMPUR, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kira-kira 11 lelaki ditahan polis dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Operasi Pelbagai di sekitar ibu negara, kelmarin hingga awal pagi tadi.

Operasi membabitkan 96 pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur itu diadakan serentak dengan Op Samseng Jalanan dan Motosikal di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Cheras, Jalan Bangsar serta Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE).

Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, semua suspek berusia antara 22 hingga 68 tahun dibawa ke Balai Trafik Jalan Bandar untuk tindakan susulan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita juga tahan lima lelaki kerana menunggang motosikal secara merbahaya sambil melakukan aksi ‘zig-zag’, ‘roket’ dan ‘Superman’, selain bersaing sesama sendiri menerusi Op Samseng di lebuh raya DUKE.

“Suspek berusia 18 hingga 26 tahun itu dibawa ke balai sama mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya hingga mengganggu pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, sebanyak 430 saman dikeluarkan secara keseluruhan atas pelbagai kesalahan dan 13 motosikal disita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 kerana mengubah suai struktur kenderaan termasuk ekzos.

“Motosikal terbabit akan diambil tindakan dan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal.

“JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan di ibu negara” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button