Berita Utama

Anwar terkhilaf tuduh Muhyiddin pesan kereta mewah

Bekas PM tak pernah guna kereta rasmi, hanya kereta peribadi

BANGI,26 Jamadilawal 1444H, Rabu – Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terkhilaf fakta apabila mendakwa Tan Sri Muhyiddin menempah kereta mewah untuk dijadikan kereta rasmi ketika menjadi Perdana Menteri.

Marzuki menjelaskan, kenderaan mewah jenis Mercedes s600 itu tidak pernah ditempah oleh Muhyiddin walaupun menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, Muhyiddin diberikan dua pilihan kereta rasmi iaitu MPV Lexus dan Mercedes s600.

“Kerana terlalu mahal, Muhyiddin meminta Jabatan Perdana Menteri mengkaji dan berunding semula.

“Saya kembalikan minit tersebut kepada pegawai dan ia terhenti di situ sahaja.

“Saya percaya kenyataan Anwar dengan menyatakan Muhyiddin telah memesan kenderaan mewah itu adalah terkhilaf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam di Dewan Rakyat, Anwar memberitahu Muhyiddin menempah sebuah kereta mewah untuk dijadikan kereta rasmi ketika menjadi Perdana Menteri.

Namun tempahan berkenaan tidak diteruskan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan dibatalkan oleh beliau sendiri.

Marzuki menegaskan, sehinggalah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021, kerajaan tidak pernah menempah kereta mewah berkenaan.

Malah, Marzuki menjelaskan sepanjang Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri beliau tidak menggunakan kereta rasmi kerajaan sebaliknya menggunakan kenderaan sendiri.

“Muhyiddin menggunakan kereta peribadinya yang sama sejak berada dalam pembangkang, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri (KDN), hinggalah menjadi Perdana Menteri dan sehinggalah sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button