Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Cabaran Shahrir serlah sikap pemimpin UMNO makin ego

Lebih pentingkan emosi tanpa fikir kesan kepada rakyat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Cabaran Tan Sri Shahrir Samad supaya parti Bersatu menarik sokongan di Johor menggambarkan pandangan cetek pemimpin veteran UMNO terhadap politik negara.

Malah, kenyataan itu dilihat lebih mengutamakan kepentingan diri dan emosi semata-mata tanpa memikirkan kesan dan akibat kepada rakyat.

Penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan melayan cabaran berkenaan kerana tahu ia bakal menyusahkan rakyat Johor seperti yang berlaku di Melaka hari ini.

“Apa yang disuarakan Sharir membuka minda rakyat – melihat siapa UMNO sebenarnya yang terlalu kelam kabut dan fikir emosi sahaja.

“Sekiranya Muhyidin bersikap pentingkan diri sendiri seperti UMNO, sudah lama Bersatu boleh menarik diri, bukannya hari ini.

“Tetapi Muhyiddin dilihat matang dan tidak mahu sejarah berulang menyebabkan beliau bertegas dengan pendirian itu,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Prof Ahmad Atory berpandangan cabaran itu memberi tamparan kepada orang muda untuk bangkit selepas menilai ‘cerita’ di sebalik sikap keeogoan UMNO.

“Saya yakin orang muda semakin faham dan bijak menilai apa yang berlaku dan menyebabkan mereka tidak sabar untuk turun memangkah 20 November ini,” katanya.

Beliau menjangkakan perselisihan faham dua tokoh politik itu memberi kesan besar kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Prof Ahmad Atory tidak menolak kemungkinan kematangan Perikatan Nasional (PN) memberi keuntungan kepada gabungan itu, kerana sikap ego UMNO kini makin menonjol.

“Rakyat sedang memerhati tindak-tanduk semua pemimpin dan mereka akan tampilkan kuasa mereka dalam PRN ini,” katanya.

Terdahulu, Shahrir didakwa mencabar Bersatu menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor.

Ia susulan selepas Muhyiddin berucap pada satu majlis yang mendakwa UMNO sebagai parti yang mementingkan diri sendiri, walaupun ketika rakyat berdepan ancaman COVID-19.

Kemudian Muhyiddin dilaporkan berkata, pemimpin politik sewajarnya memikirkan soal rakyat dalam tempoh sukar ketika ini, selain mendakwa cabaran Shahrir dibuat kerana beliau marah akibat tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kalau nak buat, saya boleh buat tapi saya tak nak buat sebab saya kasihan dengan rakyat Melaka.

“Takkan saya nak buat di Johor, bodohlah saya. Cabaran itu sangat tidak munasabah, kenyataan politik yang amat tidak bertanggungjawab. Sepatutnya, orang Johor marah Shahrir,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button