Berita Utama

COVID-19: Malaysia rekod kes baharu harian 4 digit dengan 1,228

Sabah kekal rekod jumlah kes tertinggi dengan 889 jangkitan

PUTRAJAYA, 7 Rabiulawal 1442H, Sabtu – Malaysia catat lonjakan kes baharu COVID-19 tertinggi dalam tempoh 24 jam, melepasi angka tiga digit buat pertama kali dengan sebanyak 1,228 kes baharu direkodkan hari ini.

Daripada jumlah itu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sabah kekal merekodkan jumlah kes tertinggi dengan sebanyak 889 kes atau 72.4 peratus daripada jumlah kes seluruh negara, jumlah tertinggi dicatat negeri berkenaan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan buat masa ini masih terdapat kapasiti katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) untuk menampung jumlah kes positif di negeri berkenaan.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 25,742 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 8,966 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini COVID-19 hari ini.

Selain Sabah, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 95 kes dicatatkan di Lembah Klang dengan 29 kes daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Sebanyak 502 kes lagi melibatkan tahanan daripada Kluster Penjara Kepayan, Kluster Penjara Seberang Perai, Penjara Reman dan Kluster Tembok yang kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara, katanya.

Dua kes yang dicatatkan hari ini juga menurut beliau, merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri itu sejak 20 Sept lepas sebanyak 468 kes.

Dari keseluruhan kes, Dr Noor Hisham berkata 11 daripadanya adalah kes import yang direkodkan di Kuala Lumpur, melibatkan tiga warganegara dan lapan bukan warganegara dengan tiga kes direkodkan daripada mereka yang tiba dari Singapura, Indonesia (3), China (2), Korea Selatan (2) dan Tunisia (1). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button