Berita UtamaIstimewa

Kabinet dengar cakap siapa? Kenapa MCA berlagak hero pertahan arak jenama Timah

Politikus Melayu terlalu apologetik raih undi 'ekstra' pihak tertentu

BANGI, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Keputusan Kabinet membenarkan syarikat pengeluar wiski jenama tempatan – Timah – mengekalkan namanya, meskipun sudah ditentang keras sebelum ini sangat mengecewakan.

Walhal sebelum ini, majoriti Ahli Parlimen muslim baik dari kerajaan mahupun pembangkang dilihat bersetuju supaya nama kontroversi itu ditukar dan satu polisi dibuat rentetan isu ini.

“Entah kenapa Kabinet sendiri memutuskan sesuatu yang lain. Nama ‘Timah’ dibolehkan untuk digunakan pada jenama wiski tersebut.

“Alasan ‘Menteri KPDNHEP adalah bukan Islam’ memang langsung tidak boleh dipakai (walaupun alasan ini sampah).

“Ini kerana keputusan Kabinet adalah keputusan kolektif yang dianggotai oleh menteri-menteri dan diketuai Perdana Menteri.”

Demikian luahan kecewa Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya sambil mempersoalkan sama ada Kabinet tunduk kepada desakan mana-mana pihak dalam isu ini.

“Saya tak tahulah Kabinet dengar cakap siapa. Cakap rakyat tak dengar, cakap Ahli Parlimen pun tak dengar.

“Apakah ini adalah pertimbangan politik sempena musim pilihan raya? Jika ya, apa lagi ‘U-Turn’ yang akan dibuat lagi selepas ini?” soalnya.

Pada masa sama, beliau kesal dengan sikap segelintir pemimpin politik Melayu yang seolah-olah apologetik untuk meraih undi daripada pihak tertentu.

“Seperti selalu saya perkatakan, politikus Melayu kita mana kisah perasaan orang Melayu kerana mereka tahu orang Melayu-Islam akan undi mereka walau apa pun yang mereka lakukan. Maka, mereka akan sentiasa berusaha menjadi apologetik untuk meraih undi ‘ekstra’ dari golongan tertentu.

“Kita tengoklah, apa gelagat politikus kita dalam isu ini. Apa naratif yang mereka mahu jaja dan propagandakan melalui jentera-jentera siber mereka.

“Kita lihat juga, siapa yang akan berlagak jadi hero padahal ada dalam Kabinet dan siapakah yang berlagak ‘klaim’ kejayaan mempertahankan arak ‘Timah’ ini,” katanya.

Terdahulu, kerajaan membuat keputusan membenarkan arak jenama tempatan, Timah yang sebelum ini mencetus kontroversi untuk mengekalkan nama itu.

Perkara itu diputuskan oleh Kabinet dan dimaklumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Ka Siong berkata, kontroversi penggunaan nama Timah pada minuman keras itu telah diselesaikan oleh Kabinet baru-baru ini.

“Dalam beberapa mesyuarat Kabinet baru-baru ini, anggota jemaah menteri membincangkan perkembangan terkini isu Timah.

“Saya gembira insiden ini berjaya diselesaikan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

“Timah tidak perlu menukar namanya. Pengilang telah bersetuju untuk memasukkan penjelasan tentang asal usul (nama) Timah. Maksud asal Timah merujuk kepada bijih timah – yang berkaitan dengan perlombongan bijih timah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button