Berita Utama

Sampai bila kegilaan politik akan berakhir?

Lebih banyak peluang sekiranya MN terus bergabung

BANGI, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kestabilan politik sangat diperlukan sebagaimana rentetan kerajaan yang tidak stabil akan membawa politik negara terus bergolak

Malaysia telah bertukar tiga kali Perdana Menteri dalam satu penggal akibat daripada situasi yang tidak stabil.

“Kini politik negara akan berhadapan pula dengan PRN Melaka, jadi sampai bilakah kegilaan politik ini akan berakhir?

“Mungkinkah rakyat negeri Melaka juga akan menerima Ketua Menteri yang ketiga dalam satu penggal?,” soal penganalisis politik, Dr Mohd Sadad Mahmud.

Beliau yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berkata, kepentingan setiakawan dan lawan dalam persaingan politik di Malaysia sebagaimana terlihat menerusi PRN Melaka.

“Keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS telah memutuskan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka.

“Adakah ini bermaksud PAS melanggar janji Muafakat Nasional (MN)?

“MN telah dimeterai ketika PAS dan UMNO ketika menjadi pembangkang dengan semangat air mata orang Melayu yang inginkan perpaduan umat Islam sepenuhnya,” katanya.

Pada masa sama, Dr Mohd Sadad menjelaskan sejarah politik PAS di Melaka menunjukkan dua kemenangan di kerusi DUN iaitu Dr Mohd Nor Nordin di DUN Tanjung Minyak (1974) dan Mohd Khalid Kassim di DUN Bukit Baru (2013) dan pada PRU-14, PAS tidak memenangi sebarang kerusi walaupun bertanding 24 kerusi DUN di Melaka.

Sementara Barisan Nasional (BN) pula memenangi 13 kerusi daripada 28 kawasan DUN yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 kerusi.

Sebenarnya terdapat peluang keemasan di beberapa kerusi yang boleh dimenangi pada PRU-14 sekiranya MN berganding bahu bersama dalam pilihan raya iaitu DUN Gadek, Durian Tunggal, Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.

Tegas beliau, harus diingatkan bahawa terdapat 23 kerusi DUN majoriti Melayu melebihi 60 peratus di Melaka.

“Sekiranya kemenangan di kerusi-kerusi tersebut menjadi kenyataan seharusnya ia akan menjadi titik tolak kerjasama politik MN yang lebih besar dan jauh kehadapan di dalam membela nasib umat Melayu dan agama Islam di Malaysia.

“Sebagai parti politik yang terbesar dan tertua seharusnya MN tidak boleh berpisah sama sekali.

“Namun sayangnya, masing-masing boleh bergerak dalam ruang lingkup yang tersendiri dan saling membantu untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya,” katanya lagi.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button