Berita Utama

Sasar sifar judi, Kedah akan haram kedai nombor ekor

Hadkan aktiviti penjualan arak kuat kuasa serta-merta

ALOR SETAR, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk.

“Bilangan lesen premis judi di negeri Kedah ketika ini saya tidak ada angka, tapi mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.

“Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen kemudian itu mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.

Selain itu, mesyuarat turut memutuskan untuk menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.

Muhammad Sanusi berkata, bagi penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, PBT akan memainkan peranan untuk menangani perkara itu.

“Ada kandungan alkohol tertentu yang dimasukkan minuman itu dalam kategori arak, kalau di bawah kadar tertentu itu tidak termasuk, ini pun undang-undang yang sedia adalah, kita harap usaha yang kita buat ini mendapat sokongan rakyat.

“Kita juga berbincang mengenai kedai bebas cukai di Langkawi, premis-premis yang tidak mempunyai lesen kita harap tidak lagi akan menjual arak secara terbuka, arak dihadkan penjualannya kepada orang bukan Islam sahaja, setiap PBT akan akan memainkan peranan bagi menjamin akal fikiran rakyat kita yang sentiasa waras,” katanya.

Beliau menjelaskan, keputusan itu turut dibuat atas rasa tanggungjawab sebagai Menteri Besar yang akan disoal Allah di akhirat kelak.

Jelasnya, amaran Allah mengenai judi dan arak adalah terlalu keras berikutan ia jelas boleh merosakkan institusi keluarga serta tamadun manusia.

“Di akhirat nanti Tuhan akan tanya saya aktiviti-aktiviti yang macam ini (judi dan arak) saya buat apa, saya cakap tak buat apa saya kena tibai (rotan). Sementara saya ada kuasa baik saya gunakan, bila ada premis ada aktiviti, bukan sahaja orang bukan Islam, tapi orang Islam juga.

“Perkara-perkara yang tidak elok untuk semua orang ini elok kita elakkan. Manfaat daripada premis judi ini tidak ramai pun, tauke itu sahaja untung, tapi mudarat dia kepada semua orang. Mengelak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat daripada aktiviti seperti itu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button