Berita Utama

Selepas cucu, nenek Nur Alisha kehilangan suami

Kehilangan dua orang tersayang dalam masa 48 jam

BANGI, 9 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Meskipun sukar, nenek kepada Nur Alisha Safiya Mohd Azlin terpaksa menerima hakikat kehilangan dua orang tersayang dalam masa 48 jam.

Mahani Hamid, 68, adalah nenek kepada murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi pada Jumaat.

Pada jam 4 pagi tadi, suaminya, Saad Hashim, 70, yang menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu meninggal dunia di kediamannya di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang.

Mahani berkata, berat untuknya menerima pemergian suami dan cucu tercinta dan dia mengakui hilang tempat mengadu walaupun masih mempunyai lima anak dan cucu.

“Semalam, saya menziarahi cucu yang meninggal dunia akibat kemalangan di langgar van sekolah dan hari ini suami pula meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Mahani sempat menatap wajah cucu sebelum disembahyangkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, namun tidak mengiringi jenazah ke perkuburan kerana teringatkan suami di rumah.

Katanya, ketika itu sudah malam dan dia mahu terus pulang.

“Kini tinggal kenangan dan hanya anak, menantu dan cucu saja yang menjadi tempat saya mengadu nasib,” katanya.

Anak keempat Mahani, Anom Suhana, 40 pula berkata, selepas menziarahi jenazah Alisha sepatutnya mereka terus pulang ke Pasir Gudang, namun ibu beriya-iya mengajak mereka pulang ke kampung.

“Ketika sampai di kampung arwah ayah kelihatan seperti biasa, manakala pada 4 pagi ibu memaklumkan ayah sudah meninggal dunia.

“Saya tidak menyangka rupa-rupanya ajakan ibu untuk singgah di kampung itu adalah bagi bertemu ayah buat kali terakhir dan kami reda dengan ketentuan Allah SWT kehilangan dua ahli keluarga dalam jangka masa yang dekat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button