Berita UtamaIstimewa

Kenapa DAP mengamuk? Langkah Kedah tak salah, ikut undang-undang: Mufti

Tak seperti DAP yang buat sesuka hati tanpa peduli hati orang Melayu, Islam

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusuf Ahmad menyambut baik tindakan kerajaan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian dan menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu.

Beliau turut berharap langkah positif itu dicontohi negeri-negeri lain yang masih dalam pentadbiran negara Islam.

“Inilah masa kita tunjukkan kuasa semaksimumnya menerusi perundangan yang tepat, jangan esok bila hilang kuasa kita hanya mampu menangis sahaja.

“Tindakan Kedah ini tidak salah kerana dibuat dalam bidang kuasa sebenar, jadi pihak lain tidak perlu pertikaikan.

“Dulu ketika DAP jadi pemerintah semua diubah dan saat itu ramai yang menyesal, jadi peluang kedua yang ada ini guna sebaiknya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tindakan ini dilaporkan mendapat bantahan antaranya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang mendakwa keputusan kerajaan Kedah bertujuan mengawal orang bukan Islam dan menafikan hak mereka.

“Sekiranya kerajaan negeri mahu melarang orang Islam pergi ke kedai-kedai judi saya tiada apa-apa yang boleh diperkatakan, tetapi kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan tiada hak untuk menafikan hak mereka yang bukan Islam untuk ke kedai judi.

“Mengapa ketaksuban ini berlaku terhadap orang bukan Islam? Bukankah mereka rakyat yang telah membayar cukai mereka?

“Apakah kesalahan yang telah mereka lakukan terhadap (Menteri Besar Kedah) Muhammad Sanusi Md Nor sehingga mereka dihukum?,” dakwa P Ramasamy.

Menempelak kenyataan pemimpin DAP itu, Datuk Mohd Yusuf mempersoalkan kenapa Ramasamy mengamuk bila isu arak dan judi ditonjolkan, walhal ia selari dengan undang-undang – Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Malah, beliau sewajibnya patuh kerana berpijak di negara yang ditadbir oleh pentadbiran Islam.

“Masih lupakah ketika DAP berkuasa, mereka sesuka hati mengubahnya sehinggakan orang Islam tersinggung, tetapi mereka langsung tidak peduli.

“Ingat lagi tak kemana wang kita di Tabung Haji apabila mereka sesuka hati pindahkan ke syarikat-syarikat lain dengan alasan tertentu.

“Ketika itu orang Melayu hanya menangis sendirian, tetapi kini apabila isu arak dan judi ditonjolkan mereka pula berang sedangkan ini adalah hukum yang sepatutnya dan ada dalam al-Quran.

“Wajib dilaksanakan di negara kita, cuma kita sahaja yang belum melaksanakan sepenuhnya,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan, apa yang diputuskan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu dibuat dalam bidang kuasa dan tidak menyalahi Perlembagaan.

Sudah tiba orang Melayu menjadi bijak dalam membuat penilaian dalam sesuatu perkara.

“Jangan hilang kuasa lagi baru nak menyesal, hari ini ketika berkuasa gunalah sebaiknya, asalkan tidak melampaui batasan dan keluar bidang kuasa yang sebenar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button