Berita Utama

MSC 2.0 akan diperkenalkan bagi tarik lebih ramai pelabur digital – Mustapa

usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kerajaan akan memperkenalkan MSC 2.0 dengan  penjenamaan serba baharu dan akan ditambah baik bagi tujuan menangani jurang digital sedia ada, mendepani cabaran dan kekangan semasa serta meningkatkan tawaran nilai Malaysia dalam menarik lebih banyak pelaburan digital ke seluruh negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, usaha ini adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Katanya, keputusan tersebut diambil menerusi mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

“Selama 25 tahun, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi inisiatif MSC Malaysia telah berjaya meningkatkan sumbangan ekonomi digital dari sifar peratus kepada lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2021,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Setakat 31 Dis 2020, beliau berkata, MSC Malaysia telah membantu negara meraih pelaburan berjumlah lebih RM384 bilion dan pendapatan berjumlah RM588 bilion.

Mustapa berkata, negara telah berkembang menjadi kuasa ekonomi digital global dengan berada pada kedudukan tiga terbaik dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global oleh Kearney sejak 2004 menerusi inisiatif ini.

“Oleh itu, usaha mendigitalkan ekonomi rakyat dan merakyatkan ekonomi digital akan diteruskan,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan berpuas hati dengan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mengikut jadual di mana sebanyak 6.427 juta premis mendapat liputan gentian optik, purata kelajuan jalur lebar mudah alih ditingkatkan kepada 31.34 Mbps dan liputan 4G meningkat kepada 94.03 peratus di kawasan berpenduduk sehingga suku ketiga 2021.

“Rangkaian 5G di seluruh Malaysia akan dilaksanakan secara agresif bertujuan mencapai sasaran liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang 2024 bagi memastikan negara kembali setanding dengan negara-negara jiran dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi mendorong adaptasi teknologi digital oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Mustapa berkata MyDIGITAL Corporation akan menganjurkan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 pada 21 hingga 23 Nov 2021.

Katanya, program ini diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, MDEC, MCMC serta agensi kerajaan dan swasta yang berkaitan.

“Majlis pelancaran akan dirasmikan di Bera, Pahang oleh Perdana Menteri. Program ini diadakan untuk berkongsi maklumat mengenai pakej rangsangan atau sokongan yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak swasta, serta berkongsi pengalaman usahawan yang telah mencapai kejayaan daripada bantuan-bantuan tersebut,” katanya.

Mustapa berkata, mesyuarat tersebut memutuskan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui agensi Cradle Fund Sdn. Bhd menyelaras dan memantau pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) 2021-2030 melalui platform MYStartup dalam usaha meletakkan Malaysia pada kedudukan 20 teratas dalam ekosistem pemula niaga global menjelang 2030.

Selain itu, beliau berkata pencapaian inisiatif MyDIGITAL akan dijadikan sebagai indeks petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menteri-menteri dan ketua jabatan selaras dengan kepentingan ekonomi digital. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button