Dunia

Sektor pertanian Palestin rugi RM842.9 juta angkara serangan Israel

Ratusan ekar tanah musnah, hasil tanaman tidak dapat dieksport ke luar

GAZA, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Sektor pertanian di Gaza mengalami kerugian dianggarkan bernilai AS$204 juta (RM842.9 juta) akibat serangan tentera pengganas Israel ke atas wilayah itu, menurut kementerian. 

Kementerian Pertanian Palestin di Gaza memberitahu bahawa serangan selama 11 hari itu menjejaskan golongan petani yang  terpaksa menghentikan aktiviti pertanian mereka. 

“Kerugian itu termasuk kemusnahan ratusan ekar tanaman sayur-sayuran dan pokok sebagai hasil pendapatan langsung, serta gangguan air untuk tujuan pengairan.

“Pemilik ternakan juga mengalami kerugian kerana sebilangan besar burung dan binatang mati akibat gangguan bekalan makanan ternakan ekoran penutupan lintasan sempadan,” kata kementerian.

Akses kepada tanah dan ketiadaan pasaran terbuka bagi hasil termasuk peluang eksport menjadi masalah utama disebabkan sekatan berterusan Israel di Gaza. 

Bahkan, insiden pengeboman menjadikan keadaan itu lebih buruk. Akibatnya, berlaku penurunan mendadak kepada hasil pertanian sehingga menyebabkan kerugian pada petani. 

“Pembekal keperluan pertanian di Gaza termasuk baja, racun perosak dan plastik juga mengalami kerugian akibat pengeboman Israel itu,” kata kementerian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button