Berita Utama

Ramesh Rao setuju hadkan aktiviti penjualan arak di Kedah

‘Malam-malam mabuk, kemudian bergaduh, eloklah diharamkan’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, Datuk Ramesh Rao Krishnan Naidu menyokong keputusan Kedah mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, pengehadan itu terutama sekali perlu dilaksanakan di kedai serbaneka 24 jam. 

“Seboleh-bolehnya pukul 10 dah tak boleh jual. Eloklah diharamkan. Di negara Eropah, Singapura pun ada waktu yang dihadkan penjualan minuman beralkohol.

“Jadi saya sokong keputusan itu. Kalau boleh haramkan terus penjualan arak. Sebab malam-malam mabuk lepas itu bergaduh pula,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat EXCO minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk.

Sementara itu, mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah mengenai premis perjudian, Ramesh kurang bersetuju dan menggesa supaya hanya penguatkuasaan ditingkatkan.

“Bab judi, kalau dia nak haramkan, banyak Cina dengan India sahaja yang pergi ke sana. Satu lagi bab cukai, duit itu yang kita guna untuk bantu kuil dan berhala. 

“Yang dia perlu buat adalah kuat kuasa undang-undang. Ambil tindakan terhadap kedai yang menerima pelanggan muslim. Sita kedai jika perlu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berang dengan tindakan kerajaan Kedah yang mahu mengharamkan premis perjudian dan mengehadkan penjualan minuman keras di negeri itu.

Ramasamy menyifatkan langkah itu bertujuan untuk mengawal orang bukan Islam dan menafikan hak mereka.

“Biar orang bukan Islam sendiri menentukan sendiri apa yang baik dan buruk.

“Tiada keperluan kepolisan moral yang mengakibatkan penafian hak mereka untuk sama ada meminum atau tidak meminum arak. Atau hak mereka untuk buat keputusan mengenai penglibatan mereka dalam perjudian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button