Berita Utama

Situasi ‘satu bukit dua harimau’ bakal berulang di Melaka jika PH menang

Ramai sedang intai peluang jadi Ketua Menteri Melaka

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Situasi ‘satu bukit dua harimau’ bakal berulang di Melaka sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis politik, Shahbudin Embun.

Beliau berkata, itulah yang akan terjadi jika Datuk Seri Idris Haron dan Adly Zahari sama-sama memenangi kerusi yang dipertandingkan.

Idris merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan manakala Adly pula calon DUN Bukit Katil – kedua-duanya mewakili PH.

Senario itu, kata Shahbudin, akan menyebabkan keadaan politik di Melaka kembali menjadi tidak stabil akibat perebutan jawatan yang akhirnya menyebabkan kerajaan negeri tumbang jua. 

“Sejak Mei 2018, politik negara tiada kestabilan termasuk di negeri Melaka. PRN yang diadakan sekarang adalah hasil daripada politik yang tidak stabil di negeri Melaka.

“Tujuan Idris Haron dan tiga yang lain menarik sokongan kepada Ketua Menteri adalah kerana dia berhasrat menjadi Ketua Menteri. Sekarang Idris Haron bertanding atas tiket PKR di Asahan pun demi untuk meneruskan cita-citanya. 

“Sebenarnya dalam Pakatan Harapan dengan sokongan kuat DAP, Adly Zahari masih menjadi taruhan sebagai calon Ketua Menteri. Shamsul Iskandar yang juga seorang Ahli Parlimen juga sedang mengintai peluang.

“Apa akan terjadi sekiranya PH menang dalam PRN Melaka. Andai kata Idris Haron dan Adly pun sama menang, situasi satu bukit dua harimau sebagaimana yang berlaku sebelum ini akan berulang,” dakwanya kepada Ismaweb.net.

Sementara itu, mengulas mengenai strategi Barisan Nasional (BN), beliau berkata, koalisi itu amat jelas dalam menamakan calon Ketua Menteri mereka iaitu Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

“Manifesto yang dibentangkan sangat jelas dan logik serta boleh dilaksanakan. Dengan rekod pencapaian lebih 60 tahun, BN adalah sandaran utama rakyat negeri Melaka,” katanya.

Manakala, Perikatan Nasional (PN) pula masih tidak menamakan sesiapa untuk menjadi calon Ketua Menteri. 

Shahbudin yang juga Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, hal ini mungkin disebabkan tiada keyakinan untuk menang. 

“Apakah tujuan menyertai pilihan raya ini hanya untuk pecah undi dan menidakkan kemenangan selesa BN.  

“Bagi Bersatu dan PAS, andainya BN kalah, peluang ketiga-tiga parti ini untuk bergabung di PRU15 amatlah cerah,” katanya.

Justeru, Shahbudin mengingatkan kepada pengundi negeri Melaka untuk memilih dengan sebijak-bijaknya.

“Undi kalian tersangat berharga. Jangan bazirkan undi anda yang akhirnya menyumbang kepada keadaan politik negeri yang tidak stabil. 

“Apabila politik tidak stabil, keadaan ekonomi juga tidak menentu. Akhirnya program pembangunan dan kebajikan rakyat akan turut terjejas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button