Berita UtamaIstimewa

Isu Jawi: Dong Jiao Zong licik seleweng proses pembentukan negara bangsa

Gesa tangguh pembelajaran Jawi tak hormat kontrak sosial, antinasional

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Tindakan Dong Jiao Zong menggesa kerajaan supaya segera menangguhkan pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), bukan sahaja tidak menghormati perundingan bahkan bersifat antinasional.

Sebelum ini, pertubuhan radikal itu turut menggesa agar kandungan pembelajaran mengenai kepelbagaian budaya dimasukkan dalam buku teks bahasa Melayu di SJKC dan SJKT.

Syor itu alasannya agar tulisan daripada etnik lain juga dapat diperkenalkan di samping tulisan Jawi.

Bagi Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong perkara tersebut bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan pihak berkenaan menganggap tulisan Jawi sebagai tabu, justeru tiada tempat langsung di sekolah vernakular.

Namun begitu, sikap ini amat dikesali dalam konteks identiti nasional untuk negara dan budaya bagi rakyat yang telah dipersetujui dalam perjanjian etnik menjelang kemerdekaan pada 1957 – dikenali sebagai kontrak sosial – bahawa simbol dan proses sosiobudaya Melayu adalah identitinya.

“Sikap ini bukan sahaja memperlihat perangai buruk dalam konteks nasionalisme negara, untuk ikut mendukung hasrat negara, ianya juga akan menjejaskan perpaduan negara kerana tidak mahu ikut bersama-sama dalam menjayakan dasar negara yang digubal bersama-sama untuk kepentingan negara.

“Sehubungan ini, penerimaan pendidikan tulisan Jawi adalah wajib untuk kaum bukan Melayu, untuk melangsaikan bahagian mereka pada kontrak sosial itu.

“Sebaliknya, bantahan yang diperlihat itu bukan sahaja adalah tindakan keengganan melangsaikan bahagian bukan Melayu, ianya juga bertentangan dengan aspirasi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Selain itu, Kok Seong menegaskan bahawa tidak wajar sama sekali untuk mengajar tulisan bahasa lain – seperti bahasa Cina dan Tamil – semasa mata pelajaran bahasa Melayu – yang mana perlu diberi perhatian penuh kepada unsur-unsur bahasa Melayu sahaja sepanjang masa.

Tegasnya, cadangan agar ikut diajar tulisan itu ketika pendidikan tulisan Jawi bukan sahaja tidak masuk akal, ianya juga boleh membawa kepada implikasi serius.

“Dengan ikut mengajar tulisan bahasa Cina dan Tamil bersama-sama tulisan Jawi dalam mata pelajaran bahasa Melayu, ia sebenarnya mahu menyamakan tiga bahasa ini, sedangkan martabatnya berbeza sama sekali.

“Sehubungan ini, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, sedangkan dua bahasa itu adalah hanya vernakular bagi etnik Cina dan India,” tegasnya.

Tegasnya lagi, tindakan Dong Jiao Zong dalam perkara ini memperlihat betapa liciknya mereka untuk cuba menyeleweng dengan meyimpangkan proses pembentukan negara bangsa yang sepenuhnya hendaklah berasaskan perjanjian etnik yang dipersetujui bersama oleh Melayu-Cina-India.

“Melalui tindakan culas ini, garis nyata antara penduduk asal dengan kaum bukan Melayu mahu dikaburi untuk menjadi kosmopolitan, iaitu kepelbagaian pada semua perkara dan pada kadar sama rata pula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button