Berita Utama

Kerajaan Sarawak dakwa sekolah persendirian Cina penting, salur RM10 juta setiap tahun

Dalam soal pendidikan, kerajaan negeri ambil sikap liberal

MIRI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Geran tahunan RM10 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak sekian lama, adalah salah satu daripada banyak bukti nyata yang menunjukkan bahawa ia tidak pernah mengabaikan sumbangan sekolah persendirian Cina (CIS).

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata apabila merujuk kepada soal pendidikan, kerajaan negeri mengambil sikap liberal dengan pandangan yang terbuka.

“Kami (di GPS) benar-benar mahu menyediakan anak Sarawak, terutama ke arah memenuhi permintaan ekonomi baharu. Kita perlukan (mereka yang mempunyai) ijazah yang diperlukan bagi pembangunan ekonomi akan datang,” katanya pada persidangan media selepas merasmikan pembukaan blok akademik dan pentadbiran sekolah Riam Road Secondary School.

Beliau berkata kerajaan GPS mengiktiraf sijil Unified Examination Certificate (UEC) kerana mata pelajaran yang ditampilkan adalah hampir menyamai lain-lain sukatan pelajaran, dan jika tidak diiktiraf, ia hanya akan merugikan.

Sementara itu Abang Johari mengucapkan tahniah kepada lembaga pengurusan sekolah Riam Road Secondary School terhadap wawasan mereka melahirkan pelajar yang dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, terutama dalam memenuhi permintaan dan keperluan masa depan.

“Kita sedang memasuki era digital menjelang tahun 2030 dan ini adalah sebahagian daripada proses yang kita namakan sebagai inovasi serta pembangunan kemahiran, dan saya rasa sekolah ini akan dapat membantu dengan menyumbang ke arah membentuk asas kepada para pelajarnya untuk meneruskan pengajian mereka di luar negara,” katanya.

Terdahulu Abang Johari merasmikan majlis pecah tanah Miri Sentral, yang merupakan hub pengangkutan darat bagi kawasan utara Sarawak, yang melibatkan pembangunan projek terminal bas dalam bandar raya di Miri Bypass Road di sini.

Dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, projek bernilai RM23.22 juta itu akan melibatkan pembinaan 12 kaunter tiket, 10 outlet runcit, 21 platform bas, tempat letak kereta, kedai makan, stesen teksi serta kemudahan bilik simpanan kargo.

Miri Sentral itu akan mengambil masa 26 bulan untuk disiapkan, dan dijangka akan mula beroperasi pada Januari 2024. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button