Berita Utama

Anggota polis ditahan kerana minta rasuah

Suspek dilaporkan bertugas di Balai Polis Gombak

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Seorang anggota polis ditahan susulan tular satu rakaman suara yang menceritakan kisah salah laku anggota polis berkenaan yang melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga Palestin berhampiran sebuah sekolah rendah di Jalan Gombak di sini pada 9 November lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan semalam di sekitar Gombak bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.

Beliau berkata suspek yang bertugas di Balai Polis Gombak di sini disyaki meminta sejumlah wang rasuah bagi melepaskan seorang lelaki daripada diambil tindakan terhadap kesalahan gagal menunjukkan passport yang sah.

“Warga asing bersama anaknya itu ditahan di sekatan jalan raya semasa sedang dalam perjalanan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana tidak membawa pasport dan hanya menunjukkan gambar pasport di dalam telefon bimbit.

“Anggota polis berkenaan disyaki meminta sejumlah wang rasuah (jumlah wang masih dalam siasatan) bagi melepaskan mereka daripada mengambil tindakan atas kegagalan menunjukkan pasport yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan berhubung isu ini, agar menghubungi Pegawai Penyiasat kes Insp Mohd Fildza Che Ibrahim di talian nombor 03-61262222 atau 016-9537372. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button