Berita Utama

CAP beri amaran akibat buruk jika judi dalam talian ‘dihalalkan’

Isu sosial jadi cabaran utama jika Putrajaya mula beri lesen

KUALA LUMPUR, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran tentang kemungkinan akibat ‘menghalalkan’ perjudian dalam talian.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, isu sosial boleh menjadi cabaran utama kerajaan perlu atasi apabila Putrajaya memberikan lesen kepadanya.

“Apa-apa sahaja yang dilakukan dalam talian akan sukar dikawal oleh pihak berkuasa.

“Adalah sukar untuk menetapkan had umur dan memantaunya (sebagai kelayakan untuk berjudi), justeru anak muda juga ingin mencubanya untuk keseronokan,” katanya seperti dilapor NST, hari ini.

Beliau berkata, orang yang sudah biasa berjudi dengan cara tradisional akan mula selesa melakukannya dalam talian.

Ini akan menyebabkan mereka berjudi lebih daripada sebelumnya, berpotensi menjadi ketagih .

Selain itu, jika kalah dalam pertaruhan, mereka boleh menghadapi masalah mental yang menyebabkan orang membunuh diri, katanya.

“Daripada menyekat aktiviti perjudian, kerajaan membuka lebih banyak pintu untuk mereka berjudi.

“Ia seolah-olah menggalakkan orang ramai untuk berjudi di hujung jari mereka, kerana ini boleh dilakukan dengan akses internet yang mudah ke mana sahaja mereka pergi,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, akta sedia ada iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 hanya melibatkan penguatkuasaan terhadap kegiatan judi di premis dan bukannya secara dalam talian.

Justeru, beliau mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya membuat undang-undang supaya dapat mengenakan cukai terhadap judi dalam talian.

“Apabila tak lesenkan judi dalam talian, kita tak dapat pendapatan, kita perlu pantau 24 jam, kena bagi lesen dan perlu ada peruntukan kewangan. Kalau judi di laman sesawang maknanya domain boleh bertukar. Kalau ada premis, ada rumah judi, itu sahaja kita boleh tangkap.

“Kalau tak ada rumah, polis ke pihak berkuasa ke tidak boleh tangkap sebab tak ada dalam akta. Mesti ada rumah judi atau kawasan tempat dia main, kalau dalam talian tak ada undang-undang, maknanya kita di Parlimen ini kena buat undang-undang baharu,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button