Berita Utama

CPTPP tak beri apa-apa kelebihan pada ekonomi Malaysia: MTEM

Kerajaan perlu bentang hasil kajian analisis kos-faedah, bukan bagi jaminan lisan saja

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) kekal dengan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang dijangka selewat-lewatnya pada suku ketiga 2022.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, bantahan itu dibuat kerana tidak ada bukti ia akan memberi apa-apa kelebihan pada ekonomi Malaysia berbanding apa yang sudah dicapai pada hari ini.

Malah, beliau berkata, CPTPP akan meletakkan negara dalam risiko tindakan undang-undang dan juga mengehadkan ruang penghasilan dasar.

Bukan itu sahaja, katanya lagi, kelebihan eksport yang digembar-gemburkan juga adalah indah khabar dari rupa. 

“Lambakan import murah akan berlaku dan tidak ada bukti ini akan menambah pelaburan asing ke dalam negara sebab kita sudah puluhan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada. 

“Umpama dalam permainan bola, kita tidak boleh ada penyerang sahaja tanpa pertahanan dan penjaga gol. Ratifikasi CPTPP bagaikan mengharapkan lima penyerang tanpa pemain pertahanan di mana referee juga berat sebelah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bimbang dengan ketidaktentuan itu, beliau berkata, kerajaan perlu membuktikan di mana tertulisnya di dalam perjanjian, perkara yang akan melindungi agenda ekonomi negara.

Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan membentangkan hasil kajian analisis kos-faedah yang dihasilkan pakar runding dan bukan hanya beri jaminan secara lisan sahaja.

Semalam, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia sedang melengkapkan proses ratifikasi CPTPP selewat-lewatnya pada suku ketiga 2022.

Azmin mendakwa, CPTPP dapat memberi akses pasaran lebih luas susulan pengurangan dan penghapusan duti import ke atas barang eksport Malaysia.

Katanya, layanan keutamaan bakal dinikmati Malaysia melalui CPTPP akan memberi kelebihan dan meningkatkan daya saing barang eksport, dalam pasaran negara pengimport CPTPP, berbanding negara lain yang tidak menganggotainya.

Beliau juga berkata, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan hak keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun kerajaan meratifikasinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button