Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaDunia

Doktor Palestin kehilangan 3 anak dalam serangan 2009 tuntut pampasan Israel

Mahkamah Agung Israel tangguh perbicaraan tanpa sebarang keputusan

GAZA, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Seorang doktor Palestin merayu kepada Mahkamah Agung Israel untuk mendapatkan pampasan atas serangan pada tahun 2009 oleh entiti pendudukan di Semenanjung Gaza, yang meragut nyawa tiga anak perempuannya dan seorang anak saudara perempuan.

Izzeldin Abuelaish menghadiri perbicaraan yang telah lama tertangguh pada hari Isnin, di mana dia menuntut keadilan untuk apa disifatkan sebagai ‘tindakan perang’ oleh Israel pada Januari 2009, apabila serangan kereta kebal di rumahnya di Gaza membunuh anak perempuannya Aya, 14, Bessan, 21 dan Mayar, 15, serta anak saudaranya Noor, 17. 

Shada, seorang lagi anak perempuan mangsa terselamat tetapi cedera.

Tentera Israel mengakui bahawa serangan itu bertujuan untuk gerakan penentangan Palestin yang berpangkalan di Gaza.  

Mahkamah rendah juga memihak kepada tentera rejim pada 2018 tetapi tiada pampasan ditawarkan setakat ini.

Bercakap kepada pemberita di luar bilik mahkamah sebelum perbicaraan, Izzeldin berkata, dia merasakan anak perempuannya bersamanya dan dia ‘datang untuk membela kebenaran dan hak mereka.’

“Saya harap hari ini mahkamah ini (akan) tidak membunuh mereka lagi. Saya harap hakim akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan dan membantu saya mencapai keadilan untuk anak perempuan dan anak saudara saya.

“Ia sangat sukar untuk mangsa… dan itulah yang anak saya Shada katakan. ‘Adakah kita perlu datang untuk membuktikan bahawa kita adalah mangsa? Atau pelaku (perlu) mengakui apa yang berlaku?’ 

“Apabila fakta dan bukti sudah jelas, tiada keraguan tentang bukti. Dua peluru membedil rumah saya, dan mereka perlu mengakui apa yang berlaku.

“Saya percaya saya akan bertemu mereka (anak-anak) suatu hari nanti, untuk bertemu mereka dengan hadiah besar: “Ini adalah keadilan untuk mereka dan untuk orang lain. Dan bahawa jiwa suci mereka membuat perubahan dalam kehidupan orang lain,” katanya.


Peguam untuk Izzeldin berkata, tentera Israel harus dilihat sebagai berlaku cuai secara jenayah.  

“Kami meminta mahkamah campur tangan dalam keputusan itu dan bertanggungjawab di atas tindakan tentera untuk jenayah ini yang berlaku pada 16 Januari 2009,” kata Hussein Abu Hussein.

Perbicaraan Mahkamah Agung Israel di Baitulmaqdis Timur ditangguhkan tanpa keputusan pada hari Isnin.

Ia berkata akan mengumumkan keputusannya pada tarikh kemudian, yang tidak dinyatakan.

Siasatan tentera Israel pada 2009 mendakwa, bahawa tentera rejim menyangka mereka telah mengenal pasti anggota Hamas di tingkat atas rumah doktor.  

Siasatan mendapati dua peluru kereta kebal telah dilepaskan tetapi sebaik sahaja ‘jeritan kedengaran’, arahan segera diberikan untuk menyekat serangan itu.

Izzeldin berpindah ke Kanada selepas tragedi itu, adalah seorang tokoh terkenal dan bekerja di wilayah Palestin yang diduduki ketika serangan berlaku.  

Doktor dan aktivis keamanan yang berpendidikan Harvard itu berkata, sepucuk surat telah dihantar minggu lalu oleh beberapa anggota Knesset kepada Naftali Bennett, menyeru Perdana Menteri Israel memohon maaf atas pembunuhan anak perempuan dan anak saudaranya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button