Berita Utama

Gerakan tekad jumpa MB Kedah bincang isu lesen premis judi

Akui tiada agama galak judi tapi dakwa situasi di Malaysia 'lain sedikit'

MELAKA, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Parti Gerakan akan mengadakan lawatan untuk bertemu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan keputusan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri itu.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata, kunjungan yang akan dilaksanakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu bagi membolehkan parti tersebut memahami isu berkenaan.

Menurutnya, meskipun mengakui bahawa tiada agama yang menggalakkan aktiviti judi di seluruh dunia, tetapi situasi di negara ini lain sikit kerana memiliki rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

“Kami juga terima banyak aduan daripada orang Cina, orang India yang mengatakan bahawa hak mereka (untuk berjudi).

“Bukan mereka suka berjudi tapi kita mahu katakan bahawa Perlembagaan negara memang memberi hak kepada rakyat dan mereka ada hak diri sendiri.

“Oleh itu kami akan buat satu lawatan kepada MB Kedah dan kita mintalah untuk pertimbangkan perkara-perkara (seperti) berbilang kaum itu (supaya) nak jaga sikit sentimen orang bukan Islam atau bukan Melayu,” katanya seperti dilapor Malaysiakini, hari ini.

Dominic berkata, pihaknya turut berharap akan mendapat satu titik optimum yang boleh menyampaikan situasi menang-menang antara dua pihak.

Terdahulu, Kedah memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian bagi memastikan negeri itu bebas daripada aktiviti tersebut pada masa akan datang.

Muhammad Sanusi berkata, menerusi Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian sedia ada.

“Perjudian adalah punca kepada banyak kerosakan dan keruntuhan tamadun khususnya keruntuhan institusi keluarga. Ramai orang yang terlibat dengan perjudian ini akan dibelit hutang dan memporak-perandakan keluarga serta masyarakat kita.

“Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk memastikan Kedah bebas judi, (jadi) di bawah bidang kuasa PBT, kita memutuskan untuk tidak lagi memberi sebarang kelulusan lesen premis perjudian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button