Berita Utama

Lesen judi: Persatuan ulama sokong keputusan Kedah

Harap kerajaan Pusat juga ikut jejak langkah kerajaan negeri

BANGI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Persatuan Ulama Kedah menyokong penuh keputusan kerajaan negeri untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri itu.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Hafiz Mustafa Lubis berkata, tabiat berjudi dalam kalangan rakyat perlu dibanteras supaya agenda pembangunan insan di Kedah dapat disegarkan semula.

“Tabiat berjudi tidak memberi kesan yang positif bahkan menghancurkan institusi kekeluargaan.

“… serta boleh mengancam keselamatan awam sekali gus melibatkan aktiviti jenayah yang berpunca daripada perjudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Serentak itu juga, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil langkah yang sama menghentikan pemberian lesen baru bagi aktiviti perjudian.

Pada 14 November lepas, kerajaan Kedah memutuskan untuk tidak lagi meluluskan lesen perjudian kepada mana-mana premis perjudian di negeri itu, bagi memastikan Kedah bebas daripada aktiviti tersebut pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, menerusi Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri minggu lepas, semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah tidak akan memperbaharui lesen premis perjudian sedia ada.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button