Berita Utama

Ubah persepsi, calon Bebas juga mampu menjadi pemimpin

Calon Gagasan Bebas berpegang pada prinsip integriti yang tinggi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Persepsi bahawa calon Bebas tidak mampu membentuk sebuah kerajaan bukanlah sesuatu perkara yang baru, memandangkan mereka belum diberi peluang memegang kuasa.

Sekretariat Gagasan Bebas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhammad Zaki Omar berkata, calon Bebas mampu memimpin di peringkat masyarakat dan tidak mustahil melakukan perkara sama di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Ini kerana, katanya, calon Bebas juga boleh mengakses kepada agensi kerajaan negeri mahupun Persekutuan yang telah dicipta dan dibentuk untuk membantu rakyat sekali gus dapat berkhidmat dengan lebih berkesan.

“Cuma sebelum ini kita tidak pernah melihat parti atau kumpulan calon Bebas memegang kuasa.

“Kerana itu kita mencipta persepsi bahawa mereka ini tidak mampu sedangkan latar belakang mereka cukup hebat,” katanya ketika menjadi panel Dimensi yang bertajuk PRN Melaka: Calon alternatif, politik baru? yang disiarkan secara langsung menerusi TV Pertiwi, malam ini.

Sekalipun memenangi PRN Melaka, Muhammad Zaki menegaskan dalam hal ini jawatan calon tersebut tetap wakil kepada rakyat dan perlu memainkan peranan sebagai pihak yang memegang amanah.

“Kami di peringkat Gagasan Bebas hanya membantu calon untuk mereka menjadi calon (wakil rakyat) dan berjaya mencapai kemenangan dalam waktu sekarang.

“Tetapi pada waktu sama, jawatankuasa ini akan diteruskan dan kami akan menjadi pemantau, pihak yang membantu dan menyokong daripada belakang,” katanya.

Katanya lagi, sebagai wakil rakyat, pihaknya akan berpegang pada prinsip integriti yang tinggi.

“Walaupun tidak ramai memenangi kerusi di peringkat kerajaan negeri tetapi kami tidak terikat dengan disiplin dan pemimpin mana-mana parti yang mana kami boleh bebas menyuarakan pendapat,” katanya.

Pautan Dimensi: https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/1319116235176447/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button