Berita Utama

Warga Pakistan dalang sindiket jual PLKS palsu ditahan

Sindiket kenakan bayaran antara RM300 - RM500 bagi setiap pelekat

BANGI, 11 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seorang lelaki warga Pakistan selepas dikesan mendalangi kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen yang diedarkan dalam kalangan warga asing di negara ini.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah kondominium mewah di Setapak, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, lelaki itu mendirikan makmal khas untuk menghasilkan dokumen palsu di premis tersebut.

Katanya, pemeriksaan di kediaman terbabit menemui set peralatan komputer, mesin pencetak kad, pelbagai jenis cap perwakilan negara asing dan lain-lain peralatan yang digunakan dalam aktiviti haram terbabit.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui pelekat-pelekat PLKS, lesen memandu Malaysia dan visa negara asing siap dicetak dan disusun rapi dipercayai sedia diserahkan kepada pelanggan.

“Turut ditemui adalah stok pelekat yang masih kosong dan wang tunai berjumlah RM13,710 yang disyaki hasil jualan dokumen palsu berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, soal siasat ke atas suspek membawa pasukan operasi ke sebuah kondominium lain di Jalan Genting Kelang yang turut disewa untuk kegiatan ini.

“Pemeriksaan di premis ini menemui cap PLKS dan lain-lain cap rasmi JIM palsu yang digunakan dalam pemalsuan dokumen.

“Modus operandi suspek adalah mengguna PLKS sebuah syarikat pembersihan sebagai lesen untuk bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang ini,” katanya.

Selain itu, suspek juga dikesan menyewa beberapa kondominium mewah yang mempunyai akses terhad serta kawalan keselamatan ketat bagi menyukarkan siasatan dan dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket ini dikesan menjalankan kegiatan sejak setahun lalu dengan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pelekat PLKS bergantung kepada kualiti yang dikehendaki oleh pelanggan.

“Manakala bagi lesen memandu, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM50. Kegiatan haram ini menyebabkan kerugian hasil kerajaan khususnya dalam bentuk bayaran levi pekerja asing hingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Suspek kini ditahan di Depot Imigresen Semenyih, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 bagi kesalahan melanggar syarat pas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button