Berita UtamaIstimewa

64 tahun merdeka, tapi teks Perlembagaan masih Bahasa Inggeris

PEMBELA cabar parti politik angkat agenda perjuang identiti kebangsaan

BANGI, 12 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Tidak ramai yang tahu hakikat bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Melayu.

Fakta ini tidaklah asing bagi mereka yang berkelulusan undang-undang, apatah lagi penggubal undang-undang.

Namun, yang menyedihkan apabila Ahli-Ahli Parlimen kita terlalu ramai graduan undang-undang, malah mereka sendiri penggubal undang-undang, kata Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya.

“Sebenarnya, saya difahamkan sudah lama peguam-peguam terutamanya sahabat-sahabat dalam Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyuarakan dan memperjuangkan isu ini tetapi dipandang sepi sahaja.

“Sudah lebih 60 tahun Perlembagaan Persekutuan wujud, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen apatah lagi Menteri Undang-Undang ataupun Perdana Menteri yang cuba mengusulkan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau mengesyorkan agenda ini diangkat oleh parti politik yang sering melaungkan bahawa mereka memperjuangkan bahasa dan identiti kebangsaan.

Bahkan, Pengerusi PEMBELA itu turut mencabar mana-mana gabungan parti memasukkannya dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Saya mengajak agar lebih ramai menyuarakan isu ini dengan harapan ‘penggubal undang-undang’ kita akan ambil serius akan isu ini dan kita mahu lihat siapa pula yang akan melatah, meroyan tak tentu pasal.

“Ataupun apakah memperjuangkan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa kebangsaan ini akan dilabel sebagai rasis, ekstremis dan menafikan hak agama lain sebagaimana ianya sudah menjadi ‘template’ untuk semua isu?” soalnya sinis.

Sebelum ini, PPMM meluahkan rasa kesal kerana teks Perlembagaan Persekutuan masih berbahasa Inggeris meskipun sudah lebih 64 tahun merdeka.

Menurut Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar walaupun Jabatan Peguam Negara telah menterjemah naskhah sahih Bahasa Inggeris itu ke dalam bahasa kebangsaan, namun ia tidak secara automatik menjadikan teks bahasa kebangsaan menjadi teks sahih.

Susulan itu, beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mengambil inisiatif segera bagi melaksanakannya.

“Bila lagi kerajaan mahu bertindak. Kerajaan perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong segera bagi menentukan teks sahih Perlembagaan Persekutuan adalah teks dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button