Berita Utama

Dong Lian Selangor-KL, Jawatankuasa Too Joon Hing mahu jumpa Hang Soon

Gesa kerja pembinaan yang dihentikan disambung segera

BANGI, 12 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Lembaga Pengurus Sekolah Cina Selangor-KL (Dong Lian Selangor-KL) dan Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing telah memohon untuk berjumpa Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Pertemuan itu dilaporkan supaya kerja pembinaan SJKC Too Joon Hing – yang sebelum ini diarah dihentikan – boleh disambung secepat mungkin.

Menerusi kenyataan bersama, pihak itu mendakwa, sekolah berkenaan mendapat permit pembinaan sejak Julai tahun lalu, bahkan ia memenuhi prosedur operasi Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“SJKC Too Joon Hing adalah antara 16 SJKC yang akan dibina seperti diumumkan pada tahun 2017. Jawatankuasa Pembinaan juga telah mendapatkan kelulusan dan permit pembinaannya dari KPM dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” dakwanya seperti dilapor Oriental Daily pada 16 November.

Menurut kenyataan itu, Ketua Setiausaha KPM menghantar e-mel kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Ong Yew Thai pada 25 Oktober – mengarahkan kerja pembinaan sekolah berkenaan dihentikan serta-merta tanpa menjelaskan sebabnya.

Justeru, Jawatankuasa Pembinaan telah menghantar surat kepada KPM memohon untuk berjumpa bagi mendapatkan penjelasan yang munasabah, namun sehingga kini KPM masih belum memberi sebarang maklum balas mengenainya.

Kenyataan itu berkata, pada mulanya kerja-kerja pembinaan sekolah giat dijalankan untuk pengambilan murid bagi sesi persekolahan 2023.

Namun, tidak disangka, ianya telah dipolitikkan.

“Kami sangat berharap agar orang politik tidak mempolitikkan isu pendidikan. Tidak kira parti mana yang memerintah, janji kerajaan untuk membina sekolah mestilah dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan,” katanya.

Mereka juga menggesa Hang Soon agar segera mengadakan pertemuan bagi menjelaskan sebab penghentian pembinaan dan memastikan pembinaan sekolah dapat dijalankan semula – seperti yang dirancang sebelum bermulanya sesi pengambilan murid bagi tahun 2023.

Malahan menyatakan sokongan terhadap gesaan Dong Zong dan pertubuhan-pertubuhan Cina agar kerajaan membina SJKC di kawasan-kawasan yang memerlukan demi memenuhi kehendak ibu bapa yang mahukan pendidikan Cina (untuk anak-anak mereka), selain menegaskan hak rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan asas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button