Pendapat

Membina negara dengan arak?

Tindakan kerajaan Kedah bertepatan saranan al-Quran dan hadis, wajib disokong

AGAK menghairankan apabila tindakan tegas terhadap aktiviti judi dan arak dikatakan sebagai mencabuli prinsip pembinaan negara bangsa. Apakah dengan menyokong arak, kita sebenarnya sedang membina negara bangsa yang harmoni?

2. Tidak cukupkah lagi kita menyaksikan keluarga yang kehilangan ayah disebabkan kerana dilanggar pemandu mabuk. Atau keluarga yang terkesan disebabkan kerana ketagihan judi atau arak?

3. Pada hakikatnya, tindakan kerajaan negeri Kedah yang bertegas menghentikan pengeluaran lesen judi dan arak adalah tindakan yang wajib disokong. Ia bertepatan dengan saranan al- Quran dan hadis malah langkah ini pernah dilaksanakan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dahulu.

4. Apa yang menghairankan terdapat dalam kalangan pimpinan muslim sendiri yang membantah tindakan penguatkuasaan tegas terhadap judi dan arak tersebut. Kita seharusnya bersama diingatkan semula bagaimana Rasulullah ﷺ amat membenci arak dan judi. Sabda Nabi:

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ
“Allah melaknat arak), orang yang meminumnya, orang yang menuangkannya, penjualnya, pembelinya, yang memerahnya, yang mengambil hasilnya, penghantarnya dan orang yang meminta dihantarkan. (HR Abu Daud)

4. Perhatikan hadis ini betul-betul. Perkataan yang digunakan adalah ‘laknat.’ Bererti penghasilan dan penyebaran arak ini adalah perlakuan yang amat terkutuk sehingga mereka yang melakukannya dilaknat oleh Allah dan Rasul. Arak dan judi ini memberikan ancaman kepada kesejahteraan negara.

5. Bukan sahaja penyebaran arak ini ditegah oleh Rasulullah ﷺ, langkah mengawal penjualan arak ini pernah dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz. Umar dilihat cuba menyekat kemasukan dan kebebasan aktiviti import/eksport penjualan arak. Perkara ini direkodkan oleh Ibn Zanjaweh di dalam kitab al-Amwal:

كَتَبَ عُمَرُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ إِلَى عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَهُوَ عَامِلُهُ عَلَى الْكُوفَةِ: أَنْ «لَا تُحْمَلَ الْخَمْرُ مِنْ رُسْتَاقٍ إِلَى رُسْتَاقٍ.
“Umar Abdul Aziz menulis surat kepada Abdul Hamid ibn Abdul Rahman iaitu Gabenor beliau di Kufah: (kata Umar) Jangan dibawa arak dari satu bandar atau wilayah (rustaq) kepada bandar atau wilayah yang lain.” (Ibn Zanjaweih, al-Amwal, 1/282).

6. al-Imam Ibn Abi Syaibah merekodkan gambaran yang hampir sama. Umar Abdul Aziz diriwayatkan sangat bertegas dalam menguruskan arak (punca kepada kerosakan manusia). Beliau melarang aktiviti import eksport arak, dari satu kampung ke satu kampung yang lain. Kata Ibn Abi Syaibah:

عَنْ مُثَنَّى بْنِ سَعِيدٍ، قَالَ: شَهِدْتُ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ كَتَبَ إِلَى عَامِلِهِ بِوَاسِطٍ: «أَنْ لَا تَحْمِلُوا الْخَمْرَ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَى قَرْيَةٍ…
“Muthanna ibn Sa’d berkata: Aku menyaksikan Umar Abdul Aziz menulis kepada Gabenornya bahawa: Jangan dibawa arak dari satu kampung ke satu kampung yang lain.” (Ibn Abi Syaibah, al-Musannaf, 5:100)

7. Sepatutnya tidak timbul isu mempersoalkan tindakan mengawal penjualan arak dan judi ini oleh seorang muslim. Keterikatan seseorang dan ketaksuban mereka kepada parti tertentu akhirnya membawa dirinya untuk mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Islam.

8. Jangan juga ada di kalangan pemimpin muslim kita yang menganggap ringan perkara arak ini sehingga melihat arak itu hanyalah seumpama orang kafir yang ‘meminum teh sahaja.’ Ini kerana kesan ‘teh’ ini bukan sahaja merosakkan akal, bahkan mengorbankan nyawa saudara muslim kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Artikel ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button