Berita Utama

Tiada kerjasama dengan PAS, UMNO Terengganu gerak solo PRU15

'Saya tahu baca politik PAS sebab BERSATU tak ada jentera...'

KUALA TERNGGANU, 12 Rabiulakhir 1443H, Rabu – UMNO Terengganu tidak akan bekerjasama dengan PAS, sebaliknya sedia bergerak sendirian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan pihaknya tidak akan berganjak dengan pendirian itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu mendakwa, tidak berlaku sebarang kerjasama antara UMNO dan PAS menerusi gabungan Muafakat Nasional (MN) di negeri tersebut.

Beliau turut mendakwa PAS tidak berlaku adil kepada wakil BN ketika agihan peruntukan COVID-19.

“UMNO menolak bekerjasama dengan PAS dan tidak akan berganjak dengan pendirian apatah lagi kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS juga tidak berlaku adil kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) ketika pengagihan peruntukan bantuan COVID.

“Saya kata PAS tak akan bersama UMNO (dan) dia akan pergi (bersama) PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya seperti dilapor media tempatan.

Ahmad turut mendakwa PAS akan berkerjasama dengan BERSATU berikutan parti itu tidak memiliki jentera yang kukuh.

“Saya tahu baca politik PAS sebab PPBM tak ada jentera (jadi) dia akan gunakan, sebab itu PAS akan gunakan PPBM (dengan) tawarkan jentera dia dan sebagai balasan, dia (BERSATU) tanggunglah kos-kos untuk pilihan raya dan sebagainya,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal memaklumkan, UMNO bersedia untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dun pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button