Berita Utama

22 calon Bebas diramal main peranan bentuk pakatan selepas PRN Melaka

Trend pengundi pilih parti kemungkinan besar berubah kepada pilih calon

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka antara yang paling sengit pernah berlaku, dengan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan persaingan enam penjuru, lima DUN (lima penjuru), sembilan DUN (empat penjuru) dan 11 DUN (tiga penjuru). 

Pemerhati politik, Ustaz Ir Ts Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, keadaan ini mewujudkan ketidakpastian besar mengenai koalisi mana yang bakal memperoleh majoriti terutama sekali apabila berlaku pemecahan undi Melayu. 

Beliau berkata, kehadiran 22 calon Bebas pula tidak boleh dipandang ringan kerana mereka juga berpeluang menjadi ‘king maker’ – serta menyertai pakatan lain pasca pilihan raya. 

Biar apa pun pakatan yang wujud sebelum dan selepas PRN, beliau berkata, khalayak dapat melihat bahawa daripada trend pengundi memilih parti, bermungkinan besar ia akan berubah kepada trend memilih calon pada PRN kali ini.

“Barisan Nasional (BN) menampilkan 86 peratus calon muda dan Pakatan Harapan (PH) meletakkan 40 peratus calon muda sebagai pembaharuan dan persediaan mempengaruhi Undi 18. 

“Calon termuda 21 tahun pelajar UITM. Gabungan tua dan muda diperlukan untuk imbangi pengalaman dan kekuatan lain.

“Latar belakang pendidikan calon agak berbeza-beza daripada sijil dan ijazah pertama, juga ijazah perubatan dari Russia di Merlimau. Calon MCA Kesidang dilihat sebagai satu isu kerana dia adalah lulusan UEC Taiwan dan kurang fasih berbahasa Melayu. 

“Jadi pengundi akan menjadi lebih bijak kali ini dan memilih calon yang tepat berbanding parti atau koalisi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, BN sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan dan tidak hanya terhad kepada Perikatan Nasional (PN) sahaja, sekiranya hanya mampu mempertahankan 13 kerusi pada PRN nanti.

Mengulas kenyataan itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak sebaiknya biarlah diputuskan selepas pilihan raya.

Pun begitu, Khoushaini berkata, kempen dalam talian memberi peluang kepada semua parti membina persepsi, namun kekuatan akar umbi memberi kelebihan kepada BN dan PN terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang akses kepada maklumat.

“Ini juga ekoran manifesto parti yang tidak berapa signifikan dalam PRN kali ini, pengundi telah pun membuat keputusan mereka.

“Tiada gelombang besar mahupun isu nasional yang ‘menyengat’ seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menarik pengundi muda dan atas pagar seperti PRU14, keadaan yang sekali gus dijangka memberi peluang kepada Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button