Berita Utama

56 ADUN Johor bakal terima peruntukan RM200,000 setahun

Peruntukan itu bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran kawasan DUN masing-masing

ISKANDAR PUTERI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk daripada pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan itu adalah bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran di kawasan DUN masing-masing serta peruntukan kerja-kerja kecil dan bekalan.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan tambahan RM50,000 bagi setiap ADUN bagi tujuan perayaan-perayaan besar seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

Hasni berkata, bagi merealisasikan objektif Belanjawan 2022, kerajaan negeri memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk ADUN pembangkang.

“Dengan slogan rasmi ‘Muafakat itu Berkat’, kita perlu bersolidariti, bekerjasama, menggembleng seluruh tenaga dan pemikiran untuk menjayakan pelan-pelan ekonomi dan sosial sepertimana yang digariskan dalam Belanjawan tahun depan.

“Ini termasuklah kesemua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang diamanahkan sebagai wakil rakyat. Rakyat sudah muak dengan sentimen politik assabiyah. Di bawah pentadbiran saya, kita sentiasa bersikap minda terbuka dan berlapang dada untuk menerima pandangan, kritikan dan cadangan konstruktif,” katanya.

Justeru, beliau berharap, peruntukan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat melegakan setiap ADUN dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menjemput ADUN pembangkang untuk menyertai mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) sebagai pemerhati. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button