Berita Utama

Ahli Parlimen PKR buta sejarah cadang kaji semula Perkara 153

'Inilah tiang seri kepada penyatuan ummah yang tidak boleh diganggu’: BERJASA

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Pihak yang mencadangkan supaya hak istimewa orang Melayu di dalam Perkara 153 dikaji semula disifatkan sebagai individu buta sejarah.

Individu berkenaan juga dilihat sebagai cetek pemikiran kerana sanggup menggadaikan suatu perkara yang menjaga kepentingan bangsanya sendiri.

Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Haji Zamani Ibrahim menegaskan, tiada sebarang cacat cela wujud dalam peruntukan yang sudah sejak sekian lama diterima oleh masyarakat di negara.

Katanya, hanya mereka yang tidak sayangkan negara dan bangsa sendiri sahaja sanggup mengeluarkan cadangan sedemikian rupa.

“Saya tidak faham kenapa individu berkenaan tiada harga diri sehingga sanggup mahu kaji semula, sedangkan inilah tiang seri kepada penyatuan ummah yang tidak boleh diganggu-gugat sesiapa.

“Perlembagaan yang ada hari ini tiada cacat cela dan kita sebagai orang muda hari ini perlu perkasakan dan suburkan keadaan dan bukan untuk ubah.

“Saya anggap mereka ini buta sejarah yang tergamak gadai negara sendiri demi kepentingan peribadi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim mencadangkan Perkara 153 melibatkan hak istimewa orang Melayu dikaji semula.

Beliau berkata, ini kerana pengagihan ekonomi negara tidak adil serta meminggirkan masyarakat India dan Cina, yang mana perlu diagihkan secara sama rata.

Selain itu, Ustaz Zamani tidak menolak kemungkinan perkara tersebut didalangi pihak tertentu yang memiliki kepentingan dengan mempergunakan individu buta sejarah.

“Sekiranya individu yang bercakap itu sedar dan tahu sejarah sebenar, saya yakin dia tidak akan sesekali menggadai negara dengan mahu menyamaratakan hak semua pihak,” katanya.

Beliau berpandangan, mereka yang mencetuskan keadaan huru-hara seperti ini perlu dipanggil pihak berkuasa dan dikenakan tindakan.

Katanya, walaupun negara memiliki kebebasan bersuara namun apa yang disampaikan boleh mengganggu keharmonian negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button