Pendapat

Bila Rasulullah SAW sayang seseorang

Baginda ajar perkara baik kepada orang yang disayang

1. SEKIRANYA kita sayang kepada seseorang, kita sepatutnya mengajarkan kepada mereka perkara yang baik dan bukannya mendedahkan kepada mereka perkara yang tidak baik.

2. Ini dapat difahami dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud. Dalam hadis ini, Rasulullah pernah menzahirkan rasa sayang Baginda kepada Muaz bin Jabal. Sabda Rasulullah:

يَا مُعَاذُ ! وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ ، وَاللَّهِ إِنِّي لَأُحِبُّكَ

“Wahai Muaz, Wallahi, sesungguhnya aku sayang kepada engkau, Wallahi, sesungguhnya aku sayang kepada engkau.”

3. Namun ucapan Rasulullah tidak terhenti di sini sahaja. Baginda seterusnya berpesan kepada Muaz agar sentiasa membaca satu doa khusus dipenghujung solat atau setelah selesai dari solat. Pesan Rasulullah: “Wahai Muaz, janganlah kamu lupa untuk membacakan doa ini dipenghujung solat:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

4. Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa apabila Rasulullah sayang kepada seseorang, Rasulullah menzahirkan rasa sayang Baginda kepada mereka. Bahkan apa yang lebih utama adalah Baginda mengajarkan perkara yang baik kepada orang yang disayangi.

5. Begitu juga apabila kita sayang seseorang, kita seharusnya mengajarkan kepada mereka perkara yang baik. Bukan mengajak atau mendedahkan mereka kepada perkara yang tidak baik.

6. Malah apabila kita sayang kepada seseorang, kita juga hendaklah menegah mereka dari melakukan kepada perkara yang tidak baik. Perkara ini dapat diperhatikan apabila Rasulullah menegur Muaz dalam situasi yang lain. Baginda membidas Muaz dengan lafaz yang agak keras apabila Muaz membaca surah yang panjang di dalam solat. Sabda Rasulullah:

يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ – ثَلاَثًا – اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا

“Wahai Muaz, apakah engkau ingin menimbulkan fitnah?! (Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa kata-kata ini diulang Rasulullah sebanyak tiga kali. Seolah Baginda ingin memberikan kesan mendalam kepada pemahaman Muaz.) Bacalah surah asy-Syams atau al-A’la atau surah sepertinya.

7. Perhatikan hadith ini bagaimana Rasulullah menegur Muaz dengan nada yang agak keras ketika Muaz melakukan kesilapan di sini. Ia adalah semata bagi memastikan orang yang disayangi tidak terjebak kepada kesalahan yang berterusan.

8. Melalui hadis ini, dapat kita fahami bahawa apabila kita sayang seseorang, kita hendaklah mengajarkan kepada mereka perkara yang baik. Apabila mereka melakukan kesilapan, kita tegur dan perbaiki mereka.

9. Bukan kita yang mengajak mereka melakukan kejahatan. Andai sekiranya kawan kita yang mengajarkan kejahatan, kita perlu menegur mereka. Kerana kawan yang baik membimbing kepada kebaikan.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button