Berita Utama

Jalan darat Malaysia, Singapura dibuka 29 November ini

Ia hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang

KOTA TINGGI, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kerajaan negeri Johor hari ini mengesahkan bahawa Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua akan dibuka serentak dengan VTL melibatkan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November ini.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan juga bekerja di Johor Bahru.

“Saya ada berita baik untuk dikongsi. Kami sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dan kerajaan Persekutuan dan negeri telah disahkan bahawa perjalanan darat akan bermula pada 29 Nov ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Four Points oleh Sheraton Desaru Hotel di sini hari ini.

Pada 8 Nov lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan xsejawatannya, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan individu yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 boleh berulang-alik antara Malaysia dan Singapura menerusi perjalanan udara tanpa perlu menjalani kuarantin bermula 29 Nov ini.

Sementara itu, Hasni berkata tahun depan akan menjadi tahun optimis dan pertumbuhan bagi semua sektor ekonomi di Johor.

“Memandangkan sempadan antarabangsa dibuka semula secara perlahan-lahan dan pergerakan manusia tidak lagi terhad seperti sebelum ini, Johor berharap pemulihan segera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penurunan kadar pengangguran,” katanya.

Hasni berkata pelancaran Four Points by Sheraton Desaru Hotel akan menjadi bukti yang paling sesuai untuk apa yang akan dibawa pada 2022 ke Johor, bukan sahaja untuk sektor pelancongan tetapi juga untuk ekonomi secara amnya.

Beliau menambah Johor adalah tempat yang tepat bagi sektor swasta untuk menganjurkan acara sukan dan riadah antarabangsa kerana kedudukannya yang ideal dengan Singapura, kesalinghubungan dan infrastruktur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button