Berita Utama

KKM kendali program vaksinasi, MOSTI fokus R&D hasil vaksin negara: PM

Ketika ini negara bergantung kepada luar mendapatkan vaksin

BERA, 19 Muharram 1443H, Sabtu – Semua program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baru dilantik Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

“Jika dahulu ada dua kementerian berkaitan (COVID-19) iaitu KKM dan MOSTI selain ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh dua menteri, dua Ketua Setiausaha (KSU) dan dua Ketua Pengarah… agak sukar kalau masih dua kerana mungkin berbeza daripada pandangan dan sebagainya.

“MOSTI pula akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana COVID-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

“Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kampung Batu Bor di sini hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button