Uncategorized

PRN Melaka: 30 bendera di 10 lokasi kempen diturunkan MPHTJ

MPTJH akan terus pantau supaya tidak digantung sesuka hati

MELAKA, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Kira-kira 30 bendera dan gegantung parti politik di 10 lokasi sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRRN) Melaka diturunkan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kerana menyalahi peraturan berkempen.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata, tindakan itu diambil kerana bahan kempen berkenaan mengganggu kelancaran lalu lintas sekali gus boleh menyebabkan insiden tidak diingini berlaku ke atas pengguna jalan raya.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menasihatkan mana-mana parti politik tidak menggantung bahan kempen dengan slogan berbaur perkauman, isu menyakitkan mana-mana pihak dan poster dipaku pada pokok yang boleh merosakkan landskap.

“Selain itu, gegantung juga tidak dibenarkan dipasang di kawasan tertentu seperti di premis agensi kerajaan, bangunan atau stesen bas.

“Ada beberapa gegantung diletakkan di tepi simpang yang boleh menyebabkan kemalangan, selain kita turut mengesan slogan berbentuk perkauman pada bahan kempen, sebelum bertindak menurunkannya (gegantung),” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Susulan itu, MPHTJ telah memanggil parti politik terbabit untuk memberikan penjelasan dan meminta mereka mengambil semula kain rentang yang diturunkan, selain perlu memastikan kejadian sama tidak berulang.

“MPHTJ akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa supaya tiada gegantung dipasang pihak tidak bertanggungjawab di lokasi yang membahayakan keselamatan orang ramai menjelang hari kemuncak pembuangan undi Sabtu ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button