Berita Utama

Wujud kartel bolot projek GLC di Kedah: MB

Menurutnya kegiatan dilakukan oleh ‘tauke-tauke’ besar

ALOR SETAR, 13 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa berlaku kegiatan ‘kartel projek’ oleh pihak tertentu yang membolot tender yang dikeluarkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri.

Katanya kerajaan negeri sedang meneliti perkara itu dan mencari jalan bagi membanteras kegiatan yang menurutnya dilakukan oleh ‘tauke-tauke’ besar.

“Saya nak berterus teranglah, di GLC nampak ada yang jadi kartel. Kalau ada 10 sebut harga masuk, sembilan dia (kartel) punya. Saya rasa bukan GLC di negeri sahaja, di peringkat persekutuan pun berlaku macam itu.

“Di semua tempat, sudah ada kartel-kartel yang begitu mencengkam di agensi-agensi atau tempat di mana ekonomi dan duit dijana,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Johari Abdul (PKR-Gurun) yang bertanya sama ada kerajaan negeri bersedia menutup GLC yang tidak menjana keuntungan.

Muhammad Sanusi berkata apabila ada projek-projek yang ditawarkan, kartel berkenaan akan menghantar banyak sebut harga menyebabkan mereka mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk mendapat projek.

“Ini berlaku di semua sistem ekonomi kita, bukan di Kedah sahaja, tetapi juga di Kuala Lumpur terjadi. Saya harap di Kedah ini kita dapat atasi dan kita akan perangi semua kartel yang ada,” katanya.

Dalam sidang media selepas persidangan DUN, beliau berkata isu itu dikatakan telah berlaku sekian lama, ada syarikat kontraktor yang sering mendapat projek-projek yang ditawarkan oleh GLC tertentu sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan kontraktor lain.

“Jika perkara ini telah diatasi di peringkat GLC saya ucapkan terima kasih, jika belum, tidak kiralah GLC mana pun perkara ini perlu dihentikan, berikan keadilan kepada semua orang,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya perkara itu masih berlaku pihaknya akan mengambil tindakan melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan agar isu berkenaan tidak menjadi barah yang merosakkan ekonomi negeri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button