Berita Utama

Polis tahan lima lelaki disyaki bakar kereta anggota kastam

Kesemua akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api

SEPANG, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat  – Polis menahan lima lelaki di sekitar Klang malam tadi bagi membantu siasatan kes khianat terhadap kereta milik anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Pelabuhan Klang, Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua yang berumur antara 30 dan 60 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

“Kesemua individu ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Dilaporkan sebuah kereta Proton X70 milik anggota JKDM terbakar 90 peratus ketika berada di pusat mencuci kereta di Taman Pandamaran Permai, Klang pada kira-kira 11 pagi semalam.

Menurut Arjunaidi, pihak polis telah menerima laporan daripada pengadu berusia lingkungan 50-an pada 16 Nov lepas dengan mendakwa kereta Proton X70 miliknya disimbah cat dan dua hari kemudian (18 Nov), polis menerima satu lagi laporan daripada pengadu yang mendakwa keretanya dibakar di pusat cuci kereta ketika dihantar untuk membersihkan kesan simbahan cat.

Susulan daripada laporan itu, Arjunaidi berkata pihaknya berjaya mengesan lima lelaki berkenaan yang kini direman bagi membantu siasatan.

Mengenai motif kejadian, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur khianat terhadap mangsa.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button