Berita UtamaDunia

72 NGO gesa Ahli Senat AS terbit laporan kesan kemanusiaan Israel terhadap Palestin

Sekatan rejim haram Zionis halang pembinaan semula Gaza

WASHINGTON, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Lebih 70 kumpulan hak asasi negara dan antarabangsa menggesa Ahli Senat Amerika Syarikat (AS) menyokong pindaan Akta Kebenaran Pertahanan Nasional (NDAA) 2022 – berhubung laporan kesan kemanusiaan sekatan Israel ke atas Gaza.

Dicadangkan oleh Senator Demokrat Bernie Sanders, pindaan itu memerlukan Ketua Pengawal AS mengemukakan laporan kepada Kongres menilai kesan ekonomi, kemanusiaan, politik dan psikologi yang dikenakan Israel terhadap pergerakan dan akses terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Ia juga akan melaporkan mengenai pemulihan dan pembinaan semula di Gaza berikutan konflik antara Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan tentera Israel awal musim bunga ini.

Surat itu – yang ditandatangani oleh 72 pertubuhan kebangsaan dan antarabangsa – mengecam sekatan Israel ke atas kawasan terkepung itu.

“Selepas kira-kira 14 tahun, sekatan yang teruk di Gaza menyebabkan hampir dua juta orang mempunyai akses yang sangat terhad kepada air bersih, elektrik dan makanan,” kata para penandatangan.

Israel bersama Mesir telah mengekalkan sekatan ketat ke atas Gaza sejak Hamas mula mentadbir wilayah itu pada tahun 2007.

Surat itu turut menerangkan bagaimana sekatan telah menghalang pembinaan semula Gaza selepas serangan besar terbaru Israel pada Mei.

Puluhan hospital dan klinik musnah ketika kempen pengeboman selama 11 hari yang memusnahkan lebih 1,000 unit kediaman.

Kira-kira 97 peratus daripada air minuman Gaza tercemar dan penduduk terpaksa hidup dengan gangguan bekalan elektrik yang berterusan kerana grid kuasa rosak teruk.

Semenanjung terpencil sangat terhad dalam jumlah makanan dan bekalan perubatan kritikal yang boleh diimport.

Pengangguran di semenanjung terkepung mencecah 50 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button