Berita UtamaDunia

Akibat cuai, lagi tahanan Palestin meninggal dunia di penjara Israel

Rejim haram sengaja biarkan tahanan tak dapat akses perubatan

GAZA, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Seorang lagi tahanan Palestin meninggal dunia di penjara Israel akibat kecuaian perubatan yang disengajakan.

Sami al-Amour, 39, penduduk bandar Deir al-Balah di Semenanjung Gaza, meninggal dunia di dalam sel penjara pagi semalam akibat kecuaian perubatan yang disengajakan secara sistematik ketika dia berada dalam tahanan.

Persatuan Tahanan Palestin (PPS) dalam kenyataan berkata, al-Amour ditahan pada 2008 dan dijatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan dia dinafikan lawatan keluarga.

Dia menderita penyakit jantung kongenital, tetapi kecuaian perubatan yang disengajakan oleh Israel dan keadaan penahanan yang teruk menyebabkan kesihatannya merosot.

Al-Amour telah dipindahkan beberapa hari lalu dari Penjara Nafha ke Penjara Asqalan, sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Soroka, lokasi dia menjalani dua pembedahan sebelum disahkan meninggal dunia.

PPS menganggap pihak berkuasa pendudukan Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian al-Amour.

Ini kerana Perkhidmatan Penjara Israel (ISP) mengekalkan dasar sistematik kecuaian perubatan terhadap tahanan Palestin – dasar yang sama yang menyebabkan kematian tahanan lain.

Ia menggesa kumpulan undang-undang dan hak asasi manusia untuk mengambil tindakan yang serius dan segera bagi memastikan pembebasan semua rakyat Palestin yang sakit di penjara Israel serta memastikan banduan ditawarkan rawatan perubatan yang mencukupi.

Kematian al-Amour menjadikan jumlah keseluruhan banduan yang meninggal dunia dalam penjara Israel sejak permulaan pendudukan negara haram di Tebing Barat dan Gaza pada Jun 1967 kepada 227 – termasuk 72 banduan yang meninggal dunia akibat kecuaian perubatan.

IPS terus menahan mayat tujuh banduan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button