Berita UtamaDunia

Filipina akan mula terima pelancong asing

Bantu kukuhkan keyakinan pengguna, penyumbang besar KDNK

MANILA, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Filipina akan mengalu-alukan kedatangan pelancong asing tidak lama lagi, kata kerajaan.

Negara itu menyediakan sebahagian pembukaan semula kepada pelancong yang menerima vaksin, 20 bulan selepas penutupan sempadan bagi membendung coronavirus.

Pengendali pelancongan di seluruh negara kepulauan itu terjejas akibat kejatuhan jumlah pelawat antarabangsa dan sekatan ke atas perjalanan domestik sejak permulaan pandemik itu.

Pasukan petugas COVID-19 kerajaan telah ‘meluluskan dasar’ permintaan jabatan pelancongan untuk membenarkan kemasukan pelancong yang diberi vaksin dari negara yang mempunyai kadar jangkitan yang rendah, kata Setiausaha Pelancongan, Berna Puyat.

Sempadan akan dibuka semula ‘tidak lama lagi’, menurut kenyataan itu tanpa memberi tarikh.

“Membenarkan pelancong dari negara atau wilayah yang majoriti penduduknya diberi vaksin serta dengan kadar jangkitan yang rendah, akan sangat membantu dalam usaha pemulihan kami.

“Langkah ini juga akan membantu mengukuhkan keyakinan pengguna, penyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami,” kata Puyat.

Aktiviti pelancongan merupakan pemacu utama ekonomi negara Asia Tenggara itu – menyumbang hampir 13 peratus daripada KDNK pada 2019, apabila menarik lebih 8 juta pengunjung, menurut data rasmi.

Ia merosot kepada 5.4 peratus tahun lepas susulan ketibaan pelancong merosot 82 peratus kepada 1.48 juta.

Kerajaan telah melonggarkan sekatan virus dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan kadar jangkitan harian pada paras terendah sejak awal tahun dan kadar vaksinasi di seluruh negara meningkat.

Kira-kira satu pertiga daripada 110 juta rakyat di negara itu telah mendapat vaksin lengkap.

Filipina merekodkan lebih 2.8 juta jangkitan sejak pandemik itu bermula, termasuk kira-kira 45,000 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button