Berita Utama

Kadar gaji minimum kekal atau naik masih dibincang MPGN

PGM hendaklah dikaji sekurang-kurangnya sekali setiap 2 tahun

PUTRAJAYA, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Cadangan sama ada kadar gaji minimum dikekalkan atau dinaikkan masih dalam perbincangan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) sebelum dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) telah membentangkan hasil dapatan serta syor Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020 pada mesyuarat MPGN yang berlangsung semalam.

Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah cadangan daripada majikan agar kadar gaji minimum sedia ada dikekalkan manakala pihak pekerja mengesyorkan supaya kadar gaji minimum dapat dinaikkan.

“Namun demikian, MPGN belum membuat sebarang keputusan pada mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan perbincangan serta perincian lanjut akan bersambung dalam mesyuarat MPGN pada 9 Disember ini sebelum dikemukakank  untuk pertimbangan serta persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri.

Kajian Impak dan Kajian Semula PGM 2020 dilaksana JTPGN menerusi perundingan awam dan sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja, pertubuhan majikan, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input tentang impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosioekonomi negara.

Mengikut Akta MPGN 2011 (Akta 732), PGM hendaklah dikaji semula sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

PGM 2020 berkuat kuasa pada 1 Februari 2020.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button