Langkah basmi kemiskinan negara
Isu utama kurang ekonomi dunia disebabkan penguasaan kekayaan oleh golongan elit
PERTAMA sekali saya akan menggunakan kayu ukur yang lebih holistik untuk menilai kadar kemiskinan negara. Kini, Poverty Line Income (PLI) merupakan instrumen penilai satu dimensi sahaja tanpa mengambil kira faktor pendidikan, kesihatan dan gaya hidup rakyat yang kurang bernasib baik. Saya akan menggunakan Multidimensional Poverty Index (MPI) yang merupakan kayu ukur lebih lengkap supaya program pembasmian kemiskinan di Malaysia akan lebih terpandu dan benar-benar menyelesaikan masalah pokok.
2. Kedua, saya akan memastikan Ahli Kabinet, kepimpinan negeri dan para penjawat awam yang berintegriti dan berkemahiran tinggi, sifar rasuah serta tanpa campur tangan kuasa asing. Ini amat penting kerana data 2019 menunjukkan negeri dengan rakyat miskin terbanyak di Malaysia ialah Sabah (19.5%), Kelantan (12.4%) dan Sarawak (9.0%). Statistik ini amatlah ironik mengambil kira sejarah Sabah sebagai antara negeri terkaya di Malaysia pada 1970-an. Sabah, Kelantan dan Sarawak juga amat kaya dengan hasil bumi seperti minyak, kayu balak dan pelbagai jenis hasil bumi yang lain.
3. Jadi di mana silapnya? Contohnya, kenapa kadar kemiskinan di Sabah kekal tinggi sedangkan dalam RMK10 dan RMK11 kerajaan telah memperuntukkan hampir 10% peruntukan pembangunan negara ke Sabah? Jawapan mudah saya ialah rasuah dan ketirisan dalam pengurusan kekayaan.
4. Ketiga, banyak inisiatif kerajaan sejak Malaysia merdeka adalah untuk merapatkan jurang pandapatan (income) rakyat. Saya sebaliknya akan memberikan fokus kepada merapatkan jurang kekayaan (wealth) rakyat. Ada perbezaan yang amat ketara antara kedua-dua pendekatan ini.
5. Isu utama kurang ekonomi dunia dan Malaysia adalah disebabkan isu penguasaan kekayaan oleh golongan elit berkesinambungan dari zaman penjajahan. Punca inilah yang menjadikan ‘the rich get richer and the poor get poorer’.
6. Meningkatkan pendapatan rakyat bagus, tapi tidak memadai jika pemilikan tanah, rumah/bangunan, komoditi serta pelbagai hasil mahsul negara berada di tangan golongan elit dan kuasa asing.
7. Perubahan ini memerlukan penambahbaikan Kanun Tanah Negara dan akta-akta yang berkaitan bagi mempertahankan serta memastikan pemilikan dan pengambilalihan tanah di negara kita berlaku secara adil dan saksama.
8. Keempat, isu jurang ekonomi sistemik yang disebabkan oleh monopoli, diskriminasi dan eksploitasi akan saya benteras habis-habisan juga melalui akta dan penguatkuasaan. Ya, ia berpunca dari sistem ekonomi kapitalis yang digunapakai di seluruh dunia termasuk negara kita hari ini.
9. Contohnya sistem orang tengah yang menindas para nelayan dan petani miskin dengan mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan monopoli syarikat/kelompok tertentu dalam membekalkan bahan mentah makanan atau bahan asas binaan bagi membuat bangunan.
10. Polemik ini membawa kita kepada transformasi kelima yang ingin saya gagaskan iaitu model ekonomi komuniti luar bandar. Perlaksanaan konsep ini bakal meningkatkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar, menambahkan pendapatan dan seterusnya menambahbaik kualiti hidup, menggalakkan pelabur luar serta menjamin pengagihan kek ekonomi secara lebih saksama.
11. Dasar yang diperlukan bagi menjayakan idea ini contohnya melarang pembinaan pasaraya besar ternama yang bakal membunuh ekonomi sara hidup dan kelangsungan kedai runcit kecil di kawasan kampung. Contoh dasar lain ialah memperuntukkan hak yang lebih besar kepada penduduk asal bagi mencari, menggali dan memproses bahan galian berharga yang berada dalam bumi tempat komuniti mereka tinggal dengan bantuan infrastruktur dari syarikat teknologi yang dilantik kerajaan.
12. Keenam, saya juga akan merangka program pembangunan perikanan dan pertanian negara yang lebih inklusif. Contohnya model negara China yang telah berjaya membantu sejumlah 800 juta petani miskin sejak 1978 dengan cara memberikan bantuan dana terus lebih ASD400 billion untuk membantu pembangunan luar bandar, pendidikan, infrastruktur serta pengeluaran hasil tanah.
Bersambung…
Ir Ts Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA