Dunia

New Delhi sekat kenderaan persendirian jika jerebu makin teruk

Perkenal sistem ganjil-genap mulai minggu depan

NEW DELHI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – New Delhi mempertimbangkan untuk menyekat kenderaan persendirian mulai minggu depan jika pencemaran udara teruk terus melanda ibu negara. 

Menteri Alam Sekitar, Hutan dan Pembangunan Hidupan Liar India, Gopal Rai berkata, mengikut sistem ganjil-genap, kenderaan persendirian hanya boleh dipandu pada hari tertentu secara berselang-seli bergantung pada digit terakhir nombor plat mereka.

“Jika tahap pencemaran udara kekal tinggi, kita akan melihat langkah baharu seperti sistem ganjil-genap (kenderaan).

“Kita akan lihat jika ada keperluan untuk sekatan sepenuhnya untuk menangani pencemaran. Tetapi, langkah-langkah ini tidak akan berfungsi jika bandar-bandar jiran New Delhi tidak bertindak balas,” katanya.

Kerajaan India telah memulakan beberapa langkah sejak negara itu dilanda jerebu serius sejak bulan ini dengan menutup sekolah, melarang pembinaan dan pembakaran terbuka serta membenarkan rakyat bekerja dari rumah.

Sehingga kini, ramai kanak-kanak dirawat di hospital ekoran masalah pernafasan akibat jerebu teruk yang berbahaya melanda New Delhi.

Ia turut menyebabkan lima stesen janakuasa ditutup selain melanjutkan penutupan sekolah.

Gopal berkata, hanya 30 peratus pencemaran yang berpunca daripada New Delhi, manakala selebihnya adalah daripada bandar-bandar jiran yang mempunyai puluhan ribu industri kecil dan besar beroperasi.

“Walaupun kira mengambil langkah di New Delhi, kualiti udara tidak bertambah baik jika negeri jiran juga tidak memastikan tahap pencemaran di bandar mereka turun.

“Kerajaan Persekutuan perlu memanggil kerajaan negeri untuk mewujudkan pelan tindakan bersama dalam menangani pencemaran udara,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button