Berita Utama

Peluang terbaik lonjak produk tempatan, jayakan kempen BMF

Gesa produk yang dibawa masuk ke pusat beli-belah tidak dianaktirikan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – “Inilah peluang terbaik kita lonjakkan produk tempatan sambil jayakan kempen Kempen Beli Produk Muslim atau Buy Muslim First (BMF) yang diperjuangkan selama ini’.

Demikian respons Ketua Prasarana Kempen BMF PEMBELA, Mohd Nor Izzat Mohd Johari – menyambut baik cadangan kerajaan untuk menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat GLC.

Tindakan itu supaya ia diuruskan syarikat tempatan bagi memastikan peniaga khususnya Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.

Noor Izzat yakin, sudah tiba masa kerajaan memperkasakan industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) milik usahawan tempatan dan Bumiputera supaya produk itu lebih dikenali.

“Jika sebelum ini, produk-produk PKS terhad di pasar raya yang kecil, selepas ini ia mampu memberi peluang kepada usahawan untuk buktikan produk tempatan mempunyai kualiti setanding produk luar negara.

“Persekitaran berkenaan dijangka mampu memberi peluang kepada usahawan melebarkan sayap ke peringkat lebih tinggi.

“Produk tempatan sebenarnya mempunyai peluang luas tetapi sebelum ini sering berdepan dengan kekangan promosi berikutan pasaran yang terhad,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menggesa produk yang dibawa masuk ke pusat beli-belah tidak dianaktirikan dengan diletakkan di kawasan ‘belakang’ seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Sebaliknya, mestilah dihimpunkan di satu tempat bagi memudahkan pembeli mencari produk tempatan.

Pada masa sama beliau berpandangan, supaya usahawan yang terlibat diberikan kelonggaran dengan mengenakan kadar sewa yang lebih rendah selain tidak terlibat dengan caj terlindung.

“Kita harap melalui hasrat yang diketengahkan Perdana Menteri, usahawan tempatan diberikan kadar bayaran yang lebih rendah supaya mereka tidak terbeban,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button