Berita Utama

Peranan OIC makin mengecil, tak mampu bela Palestin

Tak dapat satukan negara-negara Islam menentang Israel

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam membela nasib Palestin kini semakin mengecil berbanding Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dilihat lebih banyak melaksanakan aktiviti.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, OIC buat masa ini hanya tahu mengeluarkan kenyataan mengecam berbanding PBB yang lebih banyak turun padang.

“Selepas tahun 1948 isu Palestin tidak lagi di bawah bidang kuasa OIC, sebaliknya diletakkan kepada PBB, secara tidak langsung menunjukkan OIC tidak berjaya mengurus secara baik dan sempurna.

“OIC kini hanya tumpu kepada pendamaian antara pergerakan Hamas dan Fatah sahaja, bukannya menyatukan ke arah negara-negara Islam supaya menentang Israel.

“Lebih malang OIC sendiri menerima konsep Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution antara Israel dan Palestin,” katanya dalam program Bicara Palestin yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan OIC sepatutnya boleh memainkan peranan yang lebih padu dengan menyediakan bantuan-bantuan kemanusian yang berimpak tinggi.

Bukan sekadar isu makanan sahaja, banyak lagi perkara penting yang boleh membawa manfaat kepada penduduk Palestin.

“Antaranya sediakan peluang pekerjaan bagi membolehkan rakyatnya berdikari seperti rakyat di negara lain.

“Selain itu OIC juga boleh berperanan memberi tekanan kepada pemimpin antarabangsa untuk membuka sempadan serta mempersiapkan kekuatan ummah ke arah peperangan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button