Berita Utama

Persoal Perkara 153 cubaan terbalikkan kedudukan penduduk asal Tanah Melayu

Naratif tersembunyi? Tak patut keluar dari mulut orang Melayu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Cadangan Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim supaya Perkara 153 Perlembagaan dikaji semula seolah-olah cubaan menterbalikkan kedudukan orang Melayu di negara ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mengakui terkejut dan menegaskan ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang Melayu yang merupakan penduduk asal.

“Kenyataan ini mempunyai naratif tersembunyi, kenapa mahu Perkara 153 dikaji semula sedangkan yang digubal sudah lengkap.

“Buta sejarahkah, tahu tak Perkara 153 digubal untuk melindungi orang Melayu.

“Ini merupakan cubaan untuk menterbalikkan kedudukan penduduk asal Tanah Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Hassan yang juga wakil rakyat Pasir Gudang – mencadangkan Perkara 153 melibatkan hak istimewa orang Melayu dikaji semula.

Hassan mendakwa, pengagihan kek ekonomi negara tidak adil serta meminggirkan masyarakat India dan Cina, yang mana perlu diagihkan secara sama rata.

Mengulas lanjut, Prof Murad menjelaskan, Perkara 153 dibuat semata-mata mahu melindungi orang Melayu dan bukannya senjata untuk menindas bangsa-bangsa lain.

“Dia perlu belajar semula sejarah dan tahu siapa penduduk asal dan pendatang di negara ini.

“Kenyataan tersebut berbau hasutan, boleh mencetuskan keharmonian di negara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button