Berita Utama

Pertikai Perkara 153: ‘MP PKR umpama mahu ‘bunuh’ bangsa sendiri!

'Habislah orang Melayu jika PH kembali tadbir negara'

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Tidak mustahil lebih banyak hak orang Melayu dan Bumiputera dimansuhkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah negara.

Kegusaran itu disuarakan kebanyakan pengguna media sosial susulan kenyataan Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim yang mencadangkan supaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dikaji semula.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 di Parlimen pada 10 November lalu, Hassan dilaporkan berkata, pengagihan kek ekonomi negara tidak adil kerana meminggirkan masyarakat Cina dan India, yang mana pada beliau perlu diagihkan sama rata antara Melayu dan kaum lain.

Ekoran cadangan itu, rata-rata netizen bukan hanya mengecam kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, bahkan turut kecewa dengan sikap pemimpin Melayu di dalam pembangkang yang dilihat lebih menjaga kepentingan bangsa lain.

“PH jika memerintah lagi akan habis hak orang Melayu nak dimansuhkan, mereka-mereka ini memang nak menghancurkan hak-hak orang Melayu,” kata Mur Sida.

“Kesilapan pemimpin Melayu dah lemah, tamak, rasuah, tiada jati diri menjadi sebab Perlembagaan negara ini mudah diperkotak-katikkan oleh kaum pendatang,” kata pemilik akaun Zakaria Kamarudin.

Pemilik akaun Gerangan Hamba menyifatkan cadangan Hassan umpama mahu ‘membunuh’ bangsa sendiri demi memperjuangkan dan membawa suara kaum Cina dan India.

Walhal katanya, kaum berkenaan tidak pernah terpinggir sejak negara mencapai kemerdekaan ekoran sektor ekonomi telah lama dikuasai oleh Cina.

“Katanya kek ekonomi hendaklah dibahagi sama rata antara kaum? Satu soalan, sekarang ekonomi siapa yang pegang dan kuasai?,” kata Mohd Zaid.

“Seeloknya kaji semula hak keistimewaan diberikan kepada kaum Cina dan India disebabkan tindakan mereka menuntut hak yang sama dengan orang Melayu sebagai penduduk asal di bumi ini,” kata Rahim Razak.

Netizen turut menggesa pengundi Melayu di Parlimen Pasir Gudang untuk tidak memilih lagi Hassan sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

“Pemimpin Melayu yang berperangai macam ni tak patut kita pangkah lagi pada PRU15. Pada pengundi Melayu ini salah satu pengkhianatan kepada bangsa sendiri,” kata Mohd Yusri MY.

“Orang Melayu dan Bumiputera yang sokong dia boleh buka mata sikit,” kata Zul Muay Thai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button