Berita Utama

PRN Melaka: Undi calon muda berwibawa jaga agama, bangsa

Pertembungan saudara seagama, ultra kiasu bertepuk tangan

BANGI, 14 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Kurang 24 jam lagi tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 akan berlangsung.

Pastinya, seluruh negara ternanti-nanti keputusan pilihan raya susulan pertembungan pelbagai penjuru di 28 kerusi DUN Melaka.

Meskipun ramai yang bertanding, pengundi Melaka diharap dapat memilih calon yang paling berwibawa sebagai wakil rakyat.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, negara memerlukan calon muda berwibawa untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.

“Umat Islam perlu bijak dan berstrategi. Meskipun ramai yang bertanding, fokus hanya kepada satu calon sahaja berhadapan dengan ultra kiasu. Pilih dalam kalangan mereka, calon yang paling berwibawa, mampu melakukan perubahan, bukan cakap tak serupa bikin.

“Jika strategi tidak betul, pasti akan jatuh ke tangan ultra kiasu. Justeru, fokuskan kepada satu.

“Pilihlah pemimpin muda berjiwa besar dan mempunyai latar belakang yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, meskipun pertandingan kali ini menyaksikan sehingga enam penjuru, namun tidak banyak pilihan untuk rakyat Melaka.

“Pertembungan sesama saudara seagama. Ultra kiasu bertepuk tangan.

“Perpecahan yang tidak dapat dibendung. Apakah perkara yang sama akan berlaku menjelang PRU15 nanti?

“Persoalannya, bagaimana menghadapi situasi seperti ini? Perlukah undi berpecah sehingga menyebabkan memenangkan ultra kiasu?,” soalnya.

Dilaporkan berlaku saingan enam penjuru di tiga kerusi DUN, manakala pertandingan lima penjuru di lima kerusi DUN.

Selain itu, pertandingan tiga penjuru pula membabitkan 11 kerusi DUN, manakala empat penjuru direkodkan di sembilan kerusi DUN.

PRN kali ini menunjukkan tiga koalisi utama – Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) – meletakkan calon di semua 28 DUN, dan pada masa sama ramai calon Bebas masuk bertanding.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button