Berita UtamaIstimewa

Perkara 153: Kenyataan MP PKR ‘membabi buta’ tanpa data sejarah

Hassan patutnya baca, kaji dulu sebelum keluar kenyataan di Dewan Rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Bukan hanya bersifat dangkal, bahkan kenyataan Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim berhubung cadangan mengkaji semula Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan turut dibuat secara ‘membabi buta’ tanpa data serta rujukan sejarah.

Apatah lagi, kenyataan beliau yang menyatakan kononnya pembahagian kek ekonomi negara menindas kaum Cina dan India di Malaysia, kata Setiausaha Agung Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.

Meskipun tidak menafikan masih ada bangsa Cina yang miskin di negara ini, beliau berkata, dakwaan kaum itu ditindas dalam aspek ekonomi disebabkan Perkara 153 dalam Perlembagaan adalah sangat salah.

“Malah statistik juga membuktikan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat Cina di Malaysia amat besar (terdapat beza kekayaan dan pendapatan antara Cina kaya dan Cina miskin di Malaysia).

“Tapi untuk mengatakan bangsa Cina (secara umum) ditindas dalam aspek ekonomi disebabkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan, ia adalah sangat salah dari segala segi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Muhammad Lukman berkata, data carian semasa juga telah menyatakan bangsa mana yang mendominasi – hampir 100 peratus – dengan 20 individu terkaya di Malaysia memiliki 70 peratus ekuiti perniagaan dan hartanah negara, selain memonopoli rantaian pembekalan makanan, bahan binaan serta penguasaan ekonomi lain.

“Carian Google dengan mudah juga mampu memaklumkan kepada kita bangsa mana yang memiliki golongan miskin tegar paling tinggi di Malaysia, paling tinggi kadar pengangguran, paling rendah pendapatan perkapita mengikut bangsa dan paling lemah penguasaan ekonomi mengikut bilangan rakyat.

“Semua ini dikira perkapita mengikut bangsa, bukan mengikut bilangan rakyat!,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Ahli Parlimen Pasir Gudang itu supaya membaca dan mengkaji terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan di Dewan Rakyat.

“Seluruh rakyat Pasir Gudang tidak kira bangsa harus menolak Ahli Parlimen rasis dan dungu ini dalam PRU akan datang, bersama-sama partinya tidak ada hala tuju perjuangan!,” katanya.

Sebelum ini, Hassan teruk dikecam selepas mencadangkan supaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dikaji semula.

Dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 di Parlimen pada 10 November lalu, Hassan dilaporkan berkata, pengagihan kek ekonomi negara tidak adil kerana meminggirkan masyarakat Cina dan India, yang mana pada beliau perlu diagihkan sama rata antara Melayu dan kaum lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button