Amaran hujan waspada di Kelantan, Terengganu mulai esok
Babitkan beberapa daerah sehingga 22 November ini

BANGI, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan berstatus waspada di dua negeri di Pantai Timur, hari ini.
Amaran kuning dijangka berlaku mulai 21 November hingga 22 November ini, membabitkan beberapa daerah di negeri Kelantan dan Terengganu.
Di Kelantan, hujan berterusan dijangka berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Sementara bagi daerah di Terengganu pula membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan permulaan Monsun Timur Laut pada pertengahan Oktober mempengaruhi corak cuaca pada November.
Sehubungan itu, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangka akan menerima hujan pada paras purata antara 150mm hingga 600mm, kecuali di Kelantan dan Utara Terengganu yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 500mm hingga 1,000mm.