Berita UtamaDunia

Iran kecam keras tindakan UK label Hamas organisasi pengganas

Penyokong Hamas berdepan denda atau penjara maksimum 14 tahun

TEHRAN, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu –  Menteri Luar Iran mengecam keputusan United Kingdom (UK) menamakan Pergerakan Perjuangan Palestin (Hamas) sebagai ‘organisasi pengganas’. 

Iran menegaskan bahawa hak negara Palestin tidak boleh dipijak melalui fakta yang diputarbelitkan.

“Kami mengecam keputusan UK mengisytiharkan gerakan perjuangan popular Hamas sebagai organisasi pengganas. Hak rakyat Palestin tidak boleh dipijak dengan memutarbelitkan fakta.  

“Satu-satunya penyelesaian politik untuk Palestin terletak pada mengadakan referendum di kalangan semua penduduk asal,” kata Hossein Amir-Abdollahian dalam catatan di akaun Twitter rasminya, malam tadi.

Komen itu dibuat beberapa jam selepas kerajaan British mengumumkan bahawa ia berhasrat untuk melabelkan Hamas sebagai organisasi pengganas, menyertai Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) dalam mengharamkan sepenuhnya kumpulan pejuang berpangkalan di Gaza, yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan Palestin.

London sejak 2001 telah mengharamkan sayap tentera kumpulan itu, yang dikenali sebagai Briged Izz ad-Din al-Qassam, di seluruh UK, tetapi ini adalah kali pertama kerajaan Britain mengharamkan sayap politik Hamas.

Terdahulu pada hari Jumaat, Setiausaha Dalam Negeri Britain, Priti Patel menulis di laman Twitter bahawa beliau telah bertindak untuk mengharamkan Hamas secara keseluruhan, mengatakan tidak ada perbezaan antara sayap tentera dan politik kumpulan itu.

Selepas kelulusan Parlimen yang dijangka dalam minggu ini, larangan di bawah Akta Keganasan UK 2000 itu akan menjadikannya haram di seluruh UK untuk menjadi ahli Hamas, menyatakan sokongan kepada gerakan pejuang itu, bertemu dengan ahli Hamas, mengatur pertemuan bersama ahlinya, mengibarkan benderanya atau memakai pakaian yang menunjukkan sokongan kepada kumpulan itu.

Penyokong akan berdepan denda atau penjara maksimum 14 tahun.

Menyelar keputusan itu, Hamas mengecam keras kenyataan Patel dengan berkata: “Daripada meminta maaf dan membetulkan dosa sejarahnya terhadap rakyat Palestin, (Britain) menyokong penceroboh dengan mengorbankan mangsa.”

Hamas merujuk kepada Deklarasi Balfour dan peranan sejarah London dalam mewujudkan entiti pendudukan yang dikenali sebagai negara haram Israel.

Deklarasi Balfour datang dalam bentuk surat daripada Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour yang ditujukan kepada Lionel Walter Rothschild, seorang tokoh masyarakat Yahudi British. Ia diterbitkan pada 2 November 1917.

Pengisytiharan itu dibuat semasa Perang Dunia I dan dimasukkan dalam syarat Mandat British untuk Palestin selepas pembubaran Empayar Uthmaniyyah. 

Ia dilihat secara meluas sebagai pelopor kepada Nakba Palestin 1948, apabila pengganas Zionis bersenjata secara paksa mengusir lebih daripada 750,000 rakyat Palestin dari tanah air mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button